Fokus, Utamakan PRU Ke-14 Lebih Penting - @MahdzirKhalid


KUALA LUMPUR - Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan tumpuan penuh beliau terhadap Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berbanding cuba menempatkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO yang kosong.

Tegas beliau, fokus utama perlu diberikan kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti kerana agenda tersebut jauh lebih penting berbanding mengejar jawatan di dalam parti.

"Kita sedang bersiap untuk menghadapi pilihan raya. Pilihan rayalah, pilihan raya dulu," tegasnya ketika ditemubual Kedahnews.com di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan itu berkata, beliau perlu memberi tumpuan khusus kepada parlimen yang diwakili dan membantu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, untuk memastikan BN mencapai sasaran kemenangan lebih bergaya pada PRU ke-14.

Justeru itu, Mahdzir menjelaskan bahawa beliau perlu melakukan beberapa perubahan pada jadualnya yang ketat dengan pelbagai program di Kementerian Pendidikan dan UMNO Kedah khususnya di peringkat akar umbi.

"Saya ada kawasan, saya nak kena balik tengok kawasan, saya juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

 "Jadi saya punya program itu kena ajdust antara balik ke Kedah membantu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah, dan program kementerian. Kena buat sedikit adjustment untuk membantu parti," ujar Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kedah itu.

Beberapa pemimpin UMNO, termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dikatakan kini sedang ligat melobi untuk mengisi kekosongan yang terdapat pada jawatan Naib Presiden UMNO.

Meskipun Mahdzir difahamkan merupakan calon "favourite" bagi jawatan berkenaan, namun beliau tidak dilihat memberi tumpuan pada jawatan tersebut, sebaliknya memilih untuk memberi fokus beliau kepada PRU ke-14.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan beliau sebelum ini memberi penekanan kepada seluruh ahli UMNO untuk memberi fokus kepada PRU ke-14 dan tidak memikirkan tentang soal pemilihan parti yang dijangka berlangsung selepas pilihan raya.

Tegas beliau, perjuangan untuk memastikan BN terus kekal sebagai kerajaan di negara ini adalah merupakan fokus utama UMNO dan tidak guna berjawatan di dalam parti sekiranya BN hilang kuasa menabur bakti kepada rakyat. - Kedahnews.com