Guru, Pelajar Pondok Doakan Najib Istiqamah Teruskan Perjuangan UMNO


KUALA LUMPUR - Guru-guru dan para pelajar pondok seluruh negara, khususnya di Kedah, mendoakan semoga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diberikan kesihatan yang baik dan terus beristiqamah membawa panji-panji perjuangan UMNO di negara ini.

Doa, ucapan salam dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Najib dari guru-guru serta pelajar-pelajar pondok tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul, di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini, semalam.

"Saya ingin menyampaikan salam guru-guru pondok dan pelajar-pelajar pondok terutamanya dari Kedah kepada Presiden UMNO, didoakan agar diberi kesihatan yang baik, mental yang sihat, tenaga yang kuat, untuk meneruskan perjuangan dalam UMNO.

"Mereka berterima kasih kerana kerajaan meluluskan bajet untuk pondok-pondok sebanyak RM50 juta tahun depan," katanya ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Selain itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Pendang itu turut menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga dari puluhan juta umat Islam di negara ini kepada Mohd Najib kerana meluluskan usul persendirian pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Parlimen, baru-baru ini.

"InsyaAllah, kita menyokong penuh (pindaan) Akta 355 ini," kata beliau.

Meneruskan ucapannya, Othman berkata bahawa konsep walak jika dihayati sepenuhnya oleh ahli dan pemimpin UMNO akan dapat membantu parti untuk berhadapan dengan pembangkang yang kini dipimpin DAP dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. 

Ahli Parlimen Pendang itu berkata, ahli UMNO dan masyarakat Malaysia amnya perlu menyedari tentang nasib buruk yang boleh menimpa orang Melayu di negara ini jika DAP berjaya memerintah negara ini.

Justeru itu beliau berkata, seluruh ahli UMNO dan orang Melayu perlu setia dan bersama kepimpinan Mohd Najib untuk memimpin Barisan Nasional (BN) dan negara, sekaligus meneruskan kesinambungan tradisi parti membela rakyat di negara ini.

"Kita jangan benarkan DAP menjadi kerajaan. Kalau DAP memerintah, silap-silap 'kepala' anak cucu kita akan dipijak mereka.

"Bermakna, kita perlu bersama Presiden bagi menghalang parti cuvinis menguasai negara ini," tegas beliau. -Kedahnews.com