Harga Tiket Tempat Terbuka Stadium Darul Aman Kekal RM10 - KFA


ALOR SETAR - Harga tiket bagi tempat duduk terbuka di Stadium Darul Aman kekal berharga RM10, sekaligus menafikan spekulasi yang mendakwa kadar tiket di bahagian berkenaan akan dinaikkan.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan mengumumkan pengekalan harga tiket berkenaan selepas Kongres KFA ke-41 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, petang semalam.

"Perlawanan Liga Super, peringkat pusingan awal kumpulan Piala FA dan dan aksi kumpulan TM Piala Malaysia bagi musim 2017 harga tiket (termasuk GST) adalah seperti berikut: Terbuka RM10 (kekal seperti musim 2016)," kata kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, KFA memaklumkan bahawa kadar tiket bagi kawasan berbumbung dan astaka utama terpaksa dinaikkan kepada  RM20 (asal RM16) dan RM30 (asal RM22) sebagai inisiatif menjana sumber kewangan persatuan itu.

"Walaupun kenaikan harga tiket tidak dapat dielakkan pengurusan masih mengekalkan harga tiket tempat terbuka iaitu RM10 bagi perlawanan Liga Super dan pusingan awal Piala FA dan TM Piala Malaysia bagi musim 2017 yang sudah beberapa musim kekal tanpa kenaikan," katanya.

Sementara itu, KFA turut mengumumkan tentang tiket percuma bagi perlawanan pertama pasukan Hijau Kuning bagi Liga Super di musim depan seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sebelum ini.

"Untuk perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Aman musim 2017 sebagai hadiah buat penyokong hijaukuning seperti makluman YAB Presiden KFA, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini adalah dengan bertiket yang akan diberikan secara PERCUMA," ujar kenyataan tersebut.

Sebelum ini timbul spekulasi yang mendakwa harga tiket bagi kawasan terbuka di stadium keramat Jelapang Padi itu bakal dinaikkan di mana dakwaan tersebut telah mencetus kemarahan terhadap KFA dan Ahmad Bashah.

Walau bagaimanapun, dengan kenyataan KFA yang terbaru ini menjelaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berkemungkinan sengaja "ditiup" pihak tertentu bagi mencetus kemarahan penyokong Hijau Kuning terhadap Menteri Besar. - Kedahnews.com