Helang Merah Uji Seong Hyun, Akram Mahinan, Fitri Omar


ALOR SETAR - Juara Piala Malaysia 2016, Kedah semalam berdepan perlawanan ujian pertamanya bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Darulaman.

Apa yang menarik, skuad hijau kuning pada perlawanan tersebut akan turut menguji pemain import baharu dari Korea Selatan iaitu Kim Seong Hyun dan beberapa muka baru lain yang terdiri daripada pemain tempatan.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, perlawanan persahabatan itu merupakan peluang terbaik untuk skuadnya memilih pemain bagi menyarung jersi pasukan berkenaan bagi musim 2017.

Jelas beliau, selain pemain baru untuk pasukan Lang Merah, skuad kebanggaan rakyat Kedah itu juga bakal diperkuat oleh seorang lagi importnya yang telah kembali selepas mengalami kecederaan.

"Sandro Da Silva baru tiba di Alor Setar semalam (kelmarin) dan Liridon Krasniqi dijangka tiba malam ini (semalam). Walaupun mereka mungkin tidak diturunkan tetapi sekurang-kurangnya mereka telah ada bersama pasukan.

"Pemain pertahanan dari Korea, Seong Hyun yang berusia 23 tahun pasti akan mendapat peluangnya. Dia perlu menunjukkan kemampuan sebenarnya kerana pada pengetahuan saya lawan kita juga akan turut menggunakan tiga pemain import dari Korea Selatan.

"Selain Seong Hyun, dua pemain tempatan iaitu Akram Mahinan dari Johor Darul Takzim (II) dan Fitri Omar (Pulau Pinang) akan turut mendapat peluang," katanya, memetik laporan mStar.

Akram Mahinan (kanan)
Cheng Hoe menambah, beliau mensasarkan beberapa penyerang import untuk diuji dalam tempoh terdekat bagi mendapat keserasian bersama pemain Kedah sebelum diberikan kontrak.

"Setakat ini ramai ejen pemain telah menghubungi saya dan memberitahu mereka memiliki penyerang berwiba bagi mengetuai bahagian serangan Kedah, tetapi saya sudah mengenal pasti beberapa nama untuk diuji.

Fitri Omar
"Bukan sekadar mampu beraksi bersama barisan pemain lain dalam pasukan Kedah malah ketajaman di hadapan pintu gol lawan juga menjadi kepentingan sebelum pemain itu dapat  menyarung jersi nombor sembilan.

"Setakat ini hanya pemain yang mewakili negara sahaja diberi cuti agak panjang manakala pemain lain telah kembali menjalani latihan.

"Kita perlukan persediaan yang rapi untuk memulakan liga musim depan selain misi mempertahankan Piala Malaysia yang berada di Alor Setar," ujar beliau. -Kedahnewws.com