IAM Perlu Dana RM4 Juta Setahun Untuk Bantuan - Presiden

Mohamad Azhar (dua,kiri) dan Zawahir Abdullah (dua,kanan) membantu memakaikan baju sekolah baharu kepada murid-murid miskin yang menerima sumbangan sempena Program Kembali ke Sekolah 2017 di Sekolah Kebangsaan Pedu
KUALA NERANG - Islamic Aid Malaysia (IAM) memerlukan dana lebih RM4 juta setahun bagi melicinkan proses penyaluran bantuan kepada umat Islam di dalam dan luar negara.

Presidennya, Zawahir Abdullah berkata, dana hasil sumbangan pihak korporat itu akan disalurkan kepada mereka yang ditimpa bencana alam selain untuk pendidikan, kesihatan serta bantuan bermusim seperti pada bulan Ramadan dan sambutan Aidiladha.

“Sejak penubuhan IAM pada 2011, kami telah menyalurkan 70 peratus dana kepada umat Islam di dalam negara yang kurang berkemampuan, manakala 30 peratus lagi kepada umat Islam di Asia Tenggara,” katanya pada Program Kembali Ke Sekolah 2017 peringkat negeri Kedah di sini, baru-baru ini.

Antara bentuk bantuan yang disalurkan ialah membina dan membaik pulih rumah mangsa banjir, projek air bersih, menaja pengajian pelajar miskin ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“IAM turut menyumbangkan lembu korban kepada masyarakat Islam di Nepal, Sri Lanka, Kemboja malah kami juga memberikan bantuan berupa al-Quran dan sejadah kepada banduan beragama Islam terutama banduan Malaysia yang berada di penjara Indonesia dan Thailand,” katanya.      

Zawahir berkata, tahun ini sahaja sebanyak RM480,000 diperuntukkan bagi sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 1,600 pelajar miskin di lapan buah negeri seperti Kelantan, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Sabah dan Johor.

Terdahulu, seramai 200 murid dari empat buah sekolah di daerah ini menerima bantuan peralatan sekolah berupa dua pasang baju serta kasut dan beg sekolah yang bernilai RM300 setiap seorang. - Bernama