Ibu Bapa Rancak Membeli Pakaian Sekolah Anak-Anak


KUALA LUMPUR – Menjelang beberapa hari sahaja lagi sesi persekolahan bagi tahun 2017 bermula, ibu bapa kini semakin sibuk membeli pakaian dan barang-barang keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Kesempataan ini diambil apatah lagi ketika waktu cuti umum sempena sambutan Hari Natal dan tahun baharu nanti.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah di sekitar ibu kota semalam mendapati gedung-gedung pakaian sama ada yang kecil atau besar dibanjiri ibu bapa.

Ibu kepada dua orang anak, Nur Hidayu Mamat, 34, berkata beliau pulang bercuti dari kampungnya sehari lebih awal semata-mata untuk mempersiapkan barangan persekolahan anak-anaknya.

“Biasannya saya akan meluangkan masa sehari untuk membeli beg sekolah, pakaian seragam dan alat tulis anak-anak saya yang berumur 9 dan 10 tahun.

“Saya memperuntuk kira-kira RM1,000 setiap tahun untuk tujuan tersebut,” katanya.

Seorang pegawai perubatan dari Klang, M. Ambalagan, 45, berkata beliau membeli keperluan untuk anak bongsunya yang memasuki sekolah menengah tahun hadapan.

“Saya memilih untuk membeli-belah di sini kerana selain harganya yang berpatutan, kualiti pakaiannya juga bagus dan tahan lama,” katanya.

Bagi jururawat Khairul Bariyah Jamaluddin, 29, pula, beliau mengambil kesempatan untuk membeli buku bergambar bagi anaknya yang berusia tiga tahun.

“Sempena jualan ‘Kembali ke Sekolah’, banyak buku dan alat tulis yang ditawarkan pada harga lebih murah,” katanya.

Jurucakap sebuah gedung pakaian terkenal yang dikenali sebagai S. Saraswadhi, 56, berkata menjadi amalan setiap tahun, pihaknya menawarkan harga jualan pakaian sekolah yang jauh lebih murah berbanding hari biasa.

“Tempoh promosi sehingga 30 peratus yang bermula dari 15 Dis hingga 31 Dis sememangnya menarik lebih ramai pelanggan terutama ibu bapa.

“Dengan promosi itu, kami menawarkan baucar pembelian sebanyak RM30 kepada mereka yang berbelanja RM100 ke atas,” katanya. – BERNAMA