DALAM Islam, ilmu dan perkara-perkara yang terangkum di dalamnya (seperti makna yang benar serta kefahaman yang betul) sebenarnya adalah anugerah daripada Allah SWT.
Turut juga diyakini bahawa anugerah sedemikian dikurniakan hanya kepada insan perseorangan yang pada sisi Allah bukan sahaja telah menyediakan diri mereka untuk menerima pemberian-Nya tetapi juga layak untuk kurniaan sedemikian. Ringkasnya, ilmu itu adalah kurniaan Allah kepada insan secara individu.
Dalam kitab-kitab utama yang menerangkan tentang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Syarah Imam Sa’d al-Din al-Taftazani (wafat 793H/1390M) ke atas teks aqa’id yang dirumuskan oleh Imam Abu Hafs Umar al-Nasafi (wafat 537H/1142M), ilmu dijelaskan sebagai satu sifat yang menerangi dan menetap pada diri seseorang insan.
Atas asas kefahaman tersebut, sesebuah masyarakat atau organisasi meskipun terbentuk daripada diri-diri insan perseorangan pada hakikatnya tidak mungkin bersifat dengan ilmu, kefahaman dan seumpamanya.
Sekiranya terdapat gambaran perihal sesuatu masyarakat itu sebagai masyarakat berilmu atau sesuatu pertubuhan itu sebagai organisasi berilmu, semua itu bukan disifatkan sebagai hakiki tetapi hanya penggunaan secara metafora atau lanjutan (derivative) disebabkan individu-individu berilmu bukan sahaja berada dalam kelompok masyarakat atau pertubuhan sedemikian tetapi turut mempengaruhinya.
Antara hujah terkuat tentang hakikat ilmu sebagai sifat individu dan bukannya sifat masyarakat adalah kelompangan dan kehampaan ilmiah yang ketara dialami oleh sesuatu masyarakat atau pertubuhan ketika wafatnya tokoh-tokoh ilmuwan atau ulama yang tiada tolok bandingnya. Malah, ilmu juga tidak diwarisi secara automatik oleh mana-mana ahli keluarga seorang ilmuwan.
Pemergian tokoh-tokoh tersebut yang acap kali tiada terisi dan berganti khasnya jika tiada pelapis yang benar-benar dididik sehingga layak menerima kurniaan ilmu daripada Allah. Itu juga bermakna cahaya penerang kegelapan dalam masyarakat tersebut akan tiada selama-lamanya.
Hakikat sedemikianlah yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat baginda, Abdullah ibn Amr. Hadis ini kemudian telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim;
“Sesungguhnya Allah tiada mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia (masyarakat) tetapi Allah mencabut ilmu dengan mengambil kembali (mewafatkan) para ulama sehinggalah tiada lagi orang yang alim atau ilmuwan yang hidup. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka dalam kalangan orang yang jahil. Apabila ditanya, mereka akan mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Maka sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain.”
Oleh itu jelas sekali, dalam tradisi ilmu Islam dengan berdasarkan hadis di atas, ilmu adalah satu hakikat yang amat istimewa lagi bernilai dan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada diri insan perseorangan. Perkara ini cukup disedari yang kemudian akan dipupuk dan dipertahankan.
Dalam perkembangan berkaitan, keyakinan terhadap hakikat ilmu ini jelas terjelma pada nama mazhab dan aliran pemikiran serta pegangan (sebagai institusi-institusi yang terbukti telah berlangsung sekian lama) dengan nama-nama ilmuwan atau ulama perseorangan.
Lihat sahaja nama mazhab-mazhab utama akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, seperti Mazhab al-Asha’irah yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hasan al-Ash‘ari dan Mazhab al-Maturidiyyah yang dinisbahkan kepada Imam Abu Mansur al-Maturidi.
Juga nama mazhab-mazhab utama fiqh Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Mazhab al-Hanafi yang dikaitkan dengan Imam Abu Hanifah, Mazhab al-Maliki yang berhubung dengan Imam Malik, Mazhab al-Syafie yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafie serta Mazhab Hanbali yang susur galurnya daripada Imam Ahmad bin Hanbal.
Malangnya, pendirian dan amalan sedemikian kini dipandang serong akibat cengkaman pemikiran asing khasnya barat moden sekular terhadap akal budi orang Islam yang kini terpesona dengan tumpuan berlebihan terhadap negara, masyarakat dan organisasi sebagai pusat dan piawaian hampir segala-galanya.
Diharapkan agar keterujaan sebegitu tidak turut melanda institusi-institusi pendidikan khasnya dalam keadaan kegawatan ekonomi dan kekangan kewangan, sehingga memperlakukan tokoh-tokoh ilmuwan serta para ulama sebenar secara yang berlawanan dengan semangat yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah di atas.
*DR. MOHD. ZAIDI ISMAIL ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan