Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam. Menyebutnya sahaja sudah lelah apatah lagi untuk menulisnya jika mahu mengisi borang pendaftaran nama.
Bayangkan pula jika anak ini mahu menulis namanya pada setiap buku latihan dan kertas menjawab peperiksaan. Penulis sendiri telah mencuba, lebih kurang 32 saat diperlukan untuk menulis nama berkenaan. Itu orang dewasa, jika kanak-kanak, penulis kira mungkin lebih kurang seminit agaknya untuk selesai menulis.
Tiada niat untuk mempertikai nama berkenaan, malah apa yang hendak ditekankan adalah begitu unik dan kreatif nama-nama yang diberikan ibu bapa masa kini yang pasti memberi makna tersendiri kepada ibu bapa.
Pun begitu, baru-baru ini berlakunya kontroversi dan pertikaian nama ‘Damia’ yang dikatakan bermaksud tempat keluar darah sehingga mencetuskan perbalahan antara netizen di laman sosial selepas sekeping surat penukaran nama yang dilakukan oleh seorang bapa terhadap anaknya tersebar.
Isu pertikaian maksud nama sering berlaku dalam kalangan masyarakat kerana rata-rata ibu bapa gemar merujuk buku atau nama-nama yang dicadangkan di Internet tanpa mengetahui maksud itu sahih atau sebaliknya.
Memberi nama anak boleh disifatkan sebagai satu seni apabila pelbagai cara digunakan untuk menamakan anak-anak, malah dalam agama sendiri, memberikan nama baik kepada anak-anak adalah tanggungjawab pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.
Di Malaysia, perkembangan menamakan anak-anak berubah mengikut musim, misalnya pada era 40-an hingga 60-an, nama-nama klasik seperti Melati, Kuntum, Jebat, Purnama, Surya menjadi antara pilihan ibu bapa, malah rata-ratanya memilih menamakan anak-anak dengan satu perkataan sahaja.
Berganjak ke era 80-an, nama awalan Siti, Nur, Nurul, Ahmad, Mohammad, Abdul menjadi pilihan ibu bapa yang diselangi dengan nama kedua.
Pun begitu, perubahan ketara menjelang tahun 2000 apabila ibu bapa gemar memilih nama yang moden seperti Mikael, Batrisya, Rayyan, Danial dan Danish dengan menggunakan sekurang-kurangnya tiga perkataan dalam setiap nama tidak termasuk nama bapa. Trend berkenaan berlarutan sehingga beberapa tahun.
Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, pilihan nama mudah, pendek dan kemelayuan kembali menjadi pilihan seperti Adam, Nuh, Abdullah, Yusof.
Selain itu, menamakan anak dengan nama artis serta drama yang sedang hangat ditayangkan di televisyen juga menjadi trend ibu bapa masa kini seperti drama Tuan Anas Mikael, Sayangku Kapten Mukhriz , Nur Kasih dan terbaharu, Surihati Mr. Pilot selain memilih nama-nama ahli sukan, pemimpin atau selebriti diminati.
Menurut sumber dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nama Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia yang direkodkan jabatan itu manakala Ahmad, Alex dan Ravi merupakan antara nama paling popular didaftarkan.
Untuk rekod, katanya, JPN tidak meletakkan syarat khusus dalam pemberian nama kerana perkara itu bergantung kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran tersebut sepenuhnya.
Namun, bagi kes di mana terdapat ibu bapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan, pihak JPN akan menasihatkan kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu.
Di dalam hal tersebut, JPN mengkategorikan penamaan yang dilarang kepada dua kategori iaitu nama yang ditegah (objectionable) dan nama yang tidak sesuai (undesireable).
“Walau bagaimanapun, sekiranya ibu bapa tetap mahu mengguna pakai nama yang dipilih, ibu bapa tersebut perlu membuat permohonan akuan bersumpah dengan menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk menamakan anak mereka dengan nama yang dipilih tersebut.
“Contoh, yang pernah diterima adalah ‘Cempaka Nan Anggun’ dan ‘Yang Chantique Manees’,” katanya.
Sumber: Utusan