PEKERJAAN merupakan suatu ibadah yang sangat dianjurkan oleh Islam ke atas umatnya dan ianya merupakan salah satu tuntutan fardhu khususnya kepada mereka yang mampu bekerja demi mencapai kebahagiaan dan ketenangan samada untuk diri sendiri mahupun masyarakat.
Dalam pekerjaan, Islam sangat menitikberatkan kualiti dan keberhasilan sesuatu kerja yang dilakukan.
Maka sifat amanah perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh individu yang bekerja bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati kualiti yang diharapkan dan pada masa yang sama ianya mengikut acuan Syariah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 27:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan jangan lah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui salahnya”.
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memberi peringatan kepada hamba NYA yang beriman supaya tidak mengkhianati amanah yang telah diberikan kerana implikasinya sangat besar.
Kepercayaan yang diberikan kepada kita akan dipersoalkan dan seterusnya tercatit sebagai rekod hitam untuk jangka masa yang panjang.
Sebaliknya jika kita menjaga amanah yang diberikan, ia akan mendorong individu melakukan sesuatu kerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh dengan mencurahkan seluruh masa, tenaga dan pemikirannya.
Segala tuntutan kerja akan dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab dan dedikasi malah kita akan dihormati dan dikenali sebagai Muslim yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat termasuk kepada orang bukan Islam.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang kamu bekerja dengan tekun” (Riwayat Abi Daud).
Amanah dalam pekerjaan
Dalam menjaga amanah, beberapa perkara perlu kita titikberatkan seperti menjaga waktu bekerja, ikhlas dalam memberi pandangan, tidak terjebak kepada penyelewengan seperti rasuah, pecah amanah dan juga penyalahgunaan kuasa.
Sebaliknya kita perlulah melakukan pekerjaan dengan sebaik mungkin, menggunakan seluruh keupayaan diri, potensi dan kepakaran yang dimiliki dalam melaksanakan tugas yang diberikan tanpa sebarang pengabaian dan penyelewengan.
Perkhidmatan yang disulami sifat taqwa dan amanah serta norma-norma Islam adalah rahsia untuk suatu pencapaian yang hebat dan utuh sepanjang zaman.
Sejarah telah membuktikan di mana sifat amanah yang ada pada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sehingga digelar sebagai 'Al-Amin' telah menjadikan baginda seorang usahawan yang berjaya ketika beliau berkhidmat bersama Abu Talib dan juga Saidatina Khadijah.
Dalam pada itu juga, pengurusan masa adalah penting bagi individu yang diberi amanah.
Mereka seharusnya menggunakan sebaik mungkin waktu kerja yang telah ditetapkan dengan cekap dan berkesan. Individu yang mempunyai sifat amanah akan menghargai masa dan sentiasa menepati masanya dan tidak sama sekali mengabaikan kualiti kerja dan mereka ini akan berusaha memperbaiki diri bagi mendepani cabaran masa akan datang.
Justeru, seorang pekerja haruslah berusaha bersungguh-sungguh demi menjalankan tanggungjawab serta amanah dan kepercayaan untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan memikirkan bahawa hasil daripada pendapatan itulah yang akan menjadi sumber utama rezeki seterusnya membawa kepada punca kebahagiaan untuk diri, keluarga dan seterusnya masyarakat.
Dan janganlah sesekali kita terjebak dalam pekerjaan yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan kita memahami betapa pentingnya sifat amanah dan tanggungjawab dalam pekerjaan yang akan membuahkan hasil yang baik dalam kerjaya dan kehidupan kita.
Sama-samalah kita berusaha untuk terus amanah dan meningkatkan diri dalam kerjaya demi mencapai matlamat pekerjaan yang kita ceburi.
Kesedaran untuk mencapai matlamat dalam kerjaya merupakan salah satu perkara yang penting kerana ianya akan menjadikan kerjaya kita sebagai satu amanah dan tanggungjawab serta panduan kepada kita untuk beroleh kejayaan seterusnya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Sumber: Sinar Harian