“DARIPADA sebutir pasir yang tidak mempunyai apa-apa, kehebatan manusia mampu menjadikannya lebih berharga dan bernilai daripada emas,” kata pendakwah antarabangsa, Syaikh Zulfiqar Ahmad.
Beliau yang juga seorang jurutera berkata, begitulah antara bukti kehebatan manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah SWT. Ia sebagaimana firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (at-Tin : 5)
Berbeza dengan makhluk lain tambahnya, nikmat akal dan fikiran merupakan rahmat terbesar kurniaan Allah kepada manusia berbanding pelbagai ciptaan lain di muka bumi.
“Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah paling unik. Allah merahmati manusia dengan menganugerahkan kita sebuah karakter yang sempurna sehingga melampaui segala ciptaan lain iaitu akal.
“Walaupun setiap makhluk diciptakan dengan ciri fizikal tersendiri, namun akal membezakan manusia dengan haiwan. Jika kita perhatikan, bagaimana manusia dapat menghasilkan pelbagai produk dan sesuatu menakjubkan daripada bahan yang tiada apa-apa.
“Contohnya, manusia mampu menempa logam sehingga menjadi sesuatu benda yang bernilai. Manusia juga mampu mengolah pasir dan membuatnya lebih berharga daripada emas dengan mengubahnya menjadi silikon atau litar bersepadu (integrated circuit),” katanya yang merupakan Presiden Jamia Ihya ul Uloom, Karachi, Pakistan.
Mengambil keputusan bersara sebagai jurutera pada usia 40 tahun, Syaikh Zulfiqar menumpukan sepenuh kehidupannya untuk berbakti kepada Islam. Selain aktif berdakwah di negara kelahirannya di Pakistan, beliau turut menyebarkan Islam ke pelbagai negara termasuk di Barat dan Asia Tenggara.
Penulisan beliau mengenai ajaran Islam turut diterjemah dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia dan sumbangannya dalam menyebar ilmu telah melahirkan ribuan ilmuwan dan tokoh di serata dunia.
Syaikh Zulfiqar berkata, konsep sama menerusi akal dan fikiran membezakan nilai seseorang manusia yang akan menentukan kedudukan mereka di sisi Allah.
“Jika kita mampu mengolah besi menjadi pesawat terbang di udara dan membawa manusia serta barangan ratusan tan beratnya, begitu juga kita mengolah diri sendiri menjadi bernilai di sisi Allah berbanding insan lain.
“Wahai manusia, jika kamu mengubah sesuatu yang pada asalnya tidak ada apa-apa menjadi sesuatu yang berguna, mengapa tidak kamu berusaha mengolah diri sendiri dan mencapai darjat lebih tinggi,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, realiti yang berlaku kini, manusia dilihat lebih bersungguh-sungguh mengolah sesuatu hal keduniaan berbanding diri sendiri.
“Buktinya, di luar daripada diri kita terdapat pelbagai kemajuan di mana-mana, inovasi terbaru diperkenalkan, arkitek bangunan dilihat sangat moden, kereta juga lebih mewah dan canggih. Namun begitu, jika manusia tidak cuba memajukan diri sendiri, maka nilai kita tidak berubah.
“Oleh itu, kita perlu sedar, usaha kita seharusnya tidak hanya bersifat materialistik atau kebendaan sahaja, manusia juga harus mengolah hatinya untuk mencapai ‘kemajuan’ dan bernilai di sisi Allah dengan memperbanyakkan zikir dan melakukan amal soleh.
“Malah, ulama juga sentiasa mengolah hatinya. Ini kerana mereka sedar Allah telah menempatkan keindahan di dalam diri mereka. Apabila kita mengolah hati menjadi lebih baik, maka kita akan menemukan kebaikan, rendah diri, kasih sayang dan sifat soleh,” jelasnya.
Sumber: Utusan