Istilah "Mencuri" Itu Sesuai Untuk PAS, Kata Khalid Samad


SHAH ALAM – Isilah "mencuri" (kerusi Parlimen) sesuai untuk kisah seperti di Kota Damansara pada PRU13 lalu kerana Pas melanggar keputusan yang dibuat bersama dan mencuri kerusi PKR, ujar Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN),  Khalid Abdul Samad.

Menurut Khalid lagi, partinya, PAN, tidak akan berkelakuan begitu.

“Saya ingin merujuk kepada teguran Iskandar Abdul Samad (Naib Presiden Pas) terhadap kenyataan saya bahawa PAN berhasrat untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen yang dilihat mempunyai potensi untuk menang.

“Jumlah 40 kerusi itu adalah berdasarkan kekuatan yang ada pada PAN sebagai parti baharu yang tidak mempunyai kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya sebelum ini.

"Itulah sebabnya ia perlu dibincangkan bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” jelasnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, istilah PAN ‘mencuri’ kerusi tidak sesuai diguna pakai kerana pembahagian dan pemberian kerusi akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat.

“Ia juga mengambil kira strategi yang dicadangkan di mana setiap parti ditentukan negeri untuk dipimpinnya. Ini mungkin akan menyebabkan sedikit pengubahsuaian agihan kerusi antara parti termasuk PPBM,” katanya lagi.

Katanya lagi, Pas tidak perlu risau mengenai perbalahan PAN dengan PKR berhubung kerusi kerana mereka dan juga, DAP dan PPBM akan sentiasa berbincang untuk mencapai persetujuan tanpa perbalahan.

“Namun demikian teguran dari Iskandar diterima oleh kami dengan hati terbuka. Insya-ALLAH  hubungan kami dalam Pakatan Harapan dan PPBM tidak akan terjejas atas sebab kerusi.

“Kami mengutamakan matlamat mengalahkan BN dan oleh itu usaha mengukuhkan Pakatan Harapan dan PPBM akan sentiasa diutamakan berbanding isu kerusi,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian