Jambatan Pekan Baling Bahaya Tiada Lampu Jalan

Jambatan Pekan Baling tidak disediakan lampu jalan
BALING - Ketiadaan lampu jalan di Jambatan Pekan Baling, di sini mendatangkan bahaya kepada pengguna dan penduduk di situ.

Jambatan yang dibina kira-kira lima tahun lalu itu menghubungkan Pekan Baling dengan Jalan Weng sering dilalui orang ramai termasuk pejalan kaki.

Ketua Pegawai Mukim Dun Bayu, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, keadaan di jambatan itu berbahaya pada waktu malam dan sering mengakibatkan kemalangan.

“Waktu malam keadaannya begitu gelap, ia berbahaya kepada pengguna jalan raya khusus kepada pengguna motosikal dan pejalan kaki,” katanya di Pejabat Dun Bayu di sini, kelmarin.

Menurutnya, kemalangan maut pernah berlaku dua tahun lalu dan perkara itu dibimbangi berulang.

“Malah pernah berlaku melibatkan pejalan kaki dan penunggang motosikal. Laluan itu tidak selamat digunakan waktu malam.

“Kemalangan terbaru berlaku dua minggu lalu di mana sebuah kenderaan nyaris merempuh pejalan kaki,” katanya.

Jhangir Khan berkata, pemasangan papan pantulan cahaya di kedua-dua arah tidak membantu mengurangkan kemalangan.

“Walaupun ada papan tanda pantulan cahaya yang disediakan, tetapi jambatan itu masih tidak selamat digunakan waktu malam,” katanya.

Katanya, cadangan supaya dipasang lampu jalan lebih tiga kali diusulkan dalam Mesyuarat Agung Umno Cawangan Baling.

Namun, tiada sebarang tindakan dilakukan walaupun usul tersebut di bawa kepada pihak berkenaan.

“Kita berharap pihak berkuasa memandang serius aduan pengguna agar masalah tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Adun Bayu, Shaari Husain berkata, keselamatan pengguna jalan raya perlu diberi keutamaan pihak berkenaan.

“Kita cadang empat lampu jalan dipasang dan berharap ia dapat dilaksanakan segera,” katanya.