SHAH ALAM – Ketua Penerangan PAS, Naruddin Hassan menyatakan kebimbangan terhadap ‘wabak copy & paste’ yang melanda dunia teknologi masa kini.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada aliran fitnah yang mampu mengorbankan akhlak dan nilai kemanusiaan.
“Mereka hanya perlu ‘copy & paste’ dan mereka hanya perlu ‘click & foward’ untuk viralkan seantero dunia sebarang fitnah.
“‘Print Screen’ juga satu fenomena untuk menceroboh dan mendedahkan privasi individu, grup atau jemaah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, ‘wabak’ tersebut turut melanda sebahagian anggota gerakan Islam.
Jelasnya, kebanyakan daripada mereka teruja untuk menjadi orang pertama kononnya dalam menyebarkan maklumat, tanpa menyelidik benar salahnya maklumat tersebut.
“Mereka terlalu ghairah untuk mencari rating dan ranking dari kalangan pembaca sama ada blog, Facebook, WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Mereka lupa untuk menempatkan diri pada rating di sisi ALLAH.
“Terdapat juga pihak yang sengaja cipta fitnah dengan melakukan pengkhianatan kepada jemaah. Belum sempat pengerusi majlis menutup majlis mesyuarat dengan tasbih kiffarah dan surah Al-Asr, satu persatu minit mesyuarat boleh dibaca dan dimuat turun oleh mereka yang berada Amerika, Britain, Australia, Singapura dan lainnya,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, adalah lebih baik berdiam diri sekiranya tidak jelas dengan sesuatu perkara.
“Jika kita tidak tahu mana yang benar atau tidak tahu betul duduk sesuatu perkara, maka diam itu lebih baik. Jangan siram petrol atas bara api. Jangan gatal tangan untuk 'copy, paste',” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian