HANYA kerana pentingkan keuntungan, seorang pemandu teksi tergamak menipu dua pelancong dari Perancis dengan mengenakan bayaran tambang sebanyak RM800 untuk jarak perjalanan 6 kilometer.
Dalam kejadian Sabtu lalu, dua pelancong wanita itu dilaporkan menaiki sebuah teksi di KLCC untuk ke Masjid Negara namun ‘dilencongkan’ ke Putrajaya sebelum ditinggalkan di destinasi yang dikehendaki mereka.
Pemandu teksi berkenaan tidak menggunakan meter tambang dan mengenakan bayaran yang tidak masuk akal.
Gara-gara bimbang dan takut, kedua-dua pelancong asing itu membayar tambang berkenaan walaupun menyedari mereka telah ditipu.
Salah seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah berkata, mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), di Pudu, Ahad lalu.
SPAD dalam satu kenyataan menjelaskan maklumat mengenai teksi seperti nombor pendaftaran dan gambar pemandu telah diperolehi dan pihaknya akan mengesan pemandu teksi tersebut.
Menurutnya, tindakan pemandu teksi tersebut dianggap biadap dan telah mencemarkan nama baik Malaysia. –Kedahnews.com