Jaringan Gol Anak Kedah Sah Antara 3 Terbaik Di Dunia


KUALA LUMPUR – Setakat 5 petang Jumaat, kira-kira 1,373,249 penonton dari seluruh dunia telah menyaksikan video gol ajaib jaringan penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri.

Ia sekali gus mengatasi jumlah tontotan jaringan oleh pemain bintang antarabangsa terkenal lain sendiri seperti Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil.

Jaringan itu malah sudah disenarai pendek dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk seterusnya dipilih menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Gol sepakan gunting pemain kelab Corinthians dari Brazil pula, Johnath Marlone berada di tempat kedua dengan tontonan sebanyak 885,572 kali sementara gol sepakan percuma Messi di tempat ketiga dengan 879,423 tontonan.

Calon lain bagi anugerah itu ialah Mario Gaspar (Villareal/Sepanyol), Hlompho Kekana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (West Bromwich Albion/Wales), Simon Skrabb (Gefle IF/Finland) dan Daniuska Rodrigue (Venezuela).

Pihak FIFA menerusi laman web rasminya www.fifa.com pada 19 November lepas menyenarai pendek 10 gol menarik dari tempoh 30 September 2015 hingga 30 September 2016 untuk dipilih diberi Anugerah Puskas FIFA.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui pula proses undian kedua yang pemenangnya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari tahun depan.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang untuk mengundi gol jaringan Mohd. Faiz melalui laman web rasmi FIFA di www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ yang undiannya ditutup hari ini.

Mohd. Faiz turut menjadi tumpuan dunia apabila jaringan cantiknya menjadi berita utama laman sesawang rasmi FIFA hari ini dengan membawa tajuk ‘Subri’s physics-defying free-kick’.

Artikel berkenaan menceritakan bagaimana jaringan menakjubkan hasil sepakan percuma yang dilakukan pada perlawanan Februari lalu, bukan hanya menafikan logik bahkan hukum fizik.

Lebih daripada itu, jaringan dilakukan menggunakan teknik tersendiri itu menyebabkan lawannya, rakan sepasukan, penonton dan berjuta lagi yang menyaksikannya di atas talian seakan-akan tidak percaya.

Jaringan itu menurut artikel berkenaan mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memuat naik menerusi Twitter menyatakan ia “menakjubkan” dan “benar-benar hebat” serta sudah sampai ke Amerika. – BERNAMA