Jika Bermaruah, Mahathir Perlu Haram Ahli PPBM Terima BR1M - Pemuda UMNO Kedah


ALOR SETAR - Kekesalan menebal di hati Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tergamak menghina rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang menerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ketuanya, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Dr Mahathir yang menganggap BR1M sebagai "rasuah" turut sekaligus menganggap rakyat sebagai penerima rasuah yang haram dari sudut agama Islam dan undang-undang negara.

"Pemuda BN Negeri Kedah menzahirkan rasa kesal di atas kenyataan Tun Dr Mahathir yang cukup memalukan dengan menyatakan pemberian BR1M adalah rasuah dan haram diterima.

"Bagi Pemuda Kedah, kenyataan Tun Mahathir ini seumpama menghina golongan rakyat bawahan yg amat memerlukan bantuan berbentuk "once off" yg nyata mampu meringankan beban kos sara hidup yg sedang dihadapi oleh mereka.

"Dalam konteks ini Tun Mahathir bukan sahaja menghina penerima BR1M khususnya dari kalangan B40 malah turut menghina ahli partinya sendiri PPBM dan ahli dari rakatan pakatan yang kita percaya turut tersenarai selaku penerima BRIM," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, BR1M merupakan salah satu cara pihak kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang wajar menerimanya, sama seperti beberapa skim dan insentif kebajikan yang telah lama diamalkan di negara luar, khususnya di negara maju.

"Hakikatnya BRIM adalah insentif kebajikan sosial yang sudah lama diamalkan di Great Britain misalnya melalui pemberian elaun sosial kepada pengangur, ibu tunggal dan juga golongan keluarga yang memiliki ramai anak.

"Demikian juga mekanisme yang sama diamalkan di Thailand melalui pemberian tunai bagi berbelanja kepada keluarga berpendapatan rendah.

"Dalam konteks Belanda dan beberapa buah negara maju insentif diberi melalui kupon makanan, konsep diskrimasi harga dengan penduduk tempatan dapat membeli sesuatu barangan dengan harga lebih murah berbanding warga asing," jelasnya, yakin bahawa Dr Mahathir sendiri tahu tentang fakta berkenaan, namun cuba mempolitikkan isu.

Jelas beliau lagi, BR1M adalah satu mekanisme agihan untuk tujuan kebajikan sosial di mana seramai 6.7 juta penerimanya melibatkan peruntukkan hampir RM5 bilion tidak pernah disaring dari segi ideologi, latarbelakang agama, kaum dan fahaman politik.

Tegasnya, itu membuktikan keikhlasan Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib yang tetap komited ingin membantu rakyat meskipun cuba dipalitkan dengan sentimen politik kebencian terhadapnya oleh Dr Mahathir.

"Jika Tun Mahathir terus bertegas dengan kenyataannya itu, jika benar seluruh ahli partinya dan rakan pakatannya yang lain bermaruah dan berprinsip, maka Pemuda UMNO Kedah mencabar mereka agar menolak pemberian BR1M ini.

"Biarlah akhirnya agihan ini dapat diberikan pada orang lain yang lebih tahu menghargai demi memastikan agenda kebajikan sosial kerajaan Barisan Nasional dapat diteruskan semurni mungkin," ujar beliau, mencabar parti serpihan UMNO tersebut.

Justeru itu, Shaiful Hazizy menyifatka kenyataan Pengerusi PPBM itu bukanlah dibuat berdasarkan pertimbangan akal yang rasional, namun lebih kepada emosional melampau, dendam dan kebencian ekstrim yang berbaur politik.

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan pemberian BR1M sebagai muslihat Perdana Menteri untuk mengumpan rakyat di negara ini supaya terus menyokong dan memberi undi kepada BN supaya terus kekal menjadi pilihan sebagai kerajaan di negara ini. -Kedahnews.com