JPJ Laksana Op Jalan Sempena Krismas, Tahun Baru


PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan ‘Op Jalan’ sempena sambutan Krismas pada 24 hingga 26 Dis ini manakala Tahun Baharu pada 30 Dis hingga 2 Jan depan.

Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan berkata pengguna yang melakukan kesalahan sepanjang operasi berlangsung, seperti dikenakan kompaun sebanyak RM300, tidak boleh merayu atau dikurangkan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan di luar musim perayaan utama seperti Hari Raya Puasa dan Tahun Baharu Cina itu dilaksanakan bukan untuk menghukum pengguna jalan raya tetapi untuk membentuk kesedaran mengenai keselamatan.

“Objektif utama kita adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan purata kematian di jalan raya yang mencecah 19 orang setiap hari selain membudayakan pemanduan berhemat dan selamat dalam kalangan pengguna,” katanya dalam sidang media mengenai operasi itu di sini semalam.

Kaedah operasi termasuk rondaan penguatkuasa di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara, pemeriksaan bas di terminal bas utama, menyamar sebagai penumpang bas serta penguatkuasaan penyamaran bergambar di lokasi yang kerap berlaku perlanggaran undang-undang yang menyumbang kepada kemalangan, katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi operasi berkenaan.

“Untuk penguatkuasaan yang efisien, semua 1,500 anggota penguatkuasa JPJ dibekukan cuti sepanjang tempoh Op Jalan berlangsung,” katanya.

Antara kesalahan yang diberi tumpuan ialah gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, katanya.

Dalam pada itu, Velluvan berkata kadar kesalahan memandu di lorong kecemasan berkurangan sehingga 70 peratus bulan lepas daripada 7,000 kes yang dikompaun pada Mei lalu.

Beliau berkata statistik itu menunjukkan langkah penguatkuasaan yang dilakukan JPJ berupaya memupuk kesedaran selain keperihatinan orang ramai yang melaporkan kejadian tersebut kepada pihaknya melalui penghantaran rakaman video kesalahan.

Menurutnya, daripada 7,000 kes yang dikompaun, 1,500 kes merupakan aduan yang diterima daripada orang ramai. – BERNAMA