Kakitangan Imigresen Sekongkol Dengan Penyeludupan Manusia?

Gambar Hiasan
PETALING JAYA – Lebih daripada 50 peratus kakitangan imigresen yang mengendalikan kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 telah digantikan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan unsur-unsur sabotaj dalam sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini dengan akhbar The Malay Mail, melahirkan kebimbangan terhadap 37 orang kakitangan imigresen yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Terdapat kira-kira 1,500 kakitangan imigresen yang bertugas di kaunter kedua-dua lapangan terbang tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata: “Saya mengambil berat tentang integriti kakitangan yang mengendalikan jawatan penting, terutama di pintu masuk dan keluar negara.

“Sekurang-kurangnya 50% jumlah kakitangan barisan hadapan di KLIA dan klia2 telah diganti.”

Beliau berkata langkah itu perlu bagi meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang dan menghapuskan sebarang risiko sabotaj pada masa hadapan.

Selain menggantikan kakitangan, Jabatan Imigresen akan memasang 300 peranti pengecaman wajah baharu di lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara.

Peralatan itu akan dipasang menjelang akhir tahun depan.

Ahmad Zahid juga berharap peranti itu dipasang di semua pintu masuk dan keluar dalam masa terdekat.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata semalam 37 kakitangan telah ditahan tahun ini di bawah SOSMA selama 28 hari.

Akibat daripada penangkapan itu:
1. Empat didakwa di mahkamah dengan aktiviti penyeludupan manusia.

2. Enam orang lagi ditahan selama 60 hari di bawah POCA dan dikenakan perintah tahanan selama dua tahun.

3. 11 telah ditahan lanjut untuk 60 hari di bawah POCA dan dikenakan perintah sekatan selama dua tahun.

4. 12 telah dilanjutkan tempoh tahanan selama 60 hari di bawah POCA dan menunggu keputusan daripada Lembaga Pencegahan Jenayah jika mereka dapat dikenakan perintah tahanan, perintah sekatan atau dibebaskan.

5. Empat ditahan 60 hari di bawah POCA dan kekal dalam tahanan polis sementara menunggu penyelesaian siasatan.
Fuzi berkata, siasatan mendapati kakitangan imigresen yang terlibat secara langsung dengan sindiket penyeludupan manusia.

“Mereka menipu dengan syarat visa, mengubah data dalam sistem imigresen, mengecap pasport warga asing walaupun tidak memenuhi syarat-syarat dan berkomplot untuk menyeludup mereka yang berada dalam senarai hitam Jabatan Imigresen,” katanya.

Difahamkan gaji kakitangan gred 19 hingga 29 telah dibekukan sejak mereka ditahan tetapi mereka masih belum menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Satu sumber berkata, kebanyakan daripada mereka bertugas di kaunter imigresen di KLIA, selain berpangkalan di ibu pejabat jabatan itu di Putrajaya dan sebuah lagi pejabat di Jalan Duta.

Pada 18 Mei lalu, sabotaj myIMMs telah didedahkan secara sengaja.

Pihak berkuasa kemudiannya berkata bahawa sistem dalam talian yang menunjukkan mereka yang memasuki dan keluar daripada lapangan terbang itu amat mencurigakan berikutan kerosakan yang kerap berlaku.

Polis kemudian mengesahkan dalang di sebalik penggodaman sistem myIMMs, yang merupakan seorang rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan beberapa sindiket penyeludupan manusia tempatan dan antarabangsa. –Kedahnews.com