Kami Tak Suka Sahabat Tikam Belakang - PAS


KOTA BHARU - PAS berpendirian tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutamanya dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politik, kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, melalui dasar yang sama juga, PAS ingin mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalinkan persahabatan politik dengan parti itu untuk menghormati dan jujur dengan pendirian yang dipegang parti itu.

“Sahabat kita, baru atau lama, duduk elok-elok dengan kita. Terutamanya PKR. Nak berkawan dengan PAN boleh, tapi jangan berperangai seperti PAN. Kena jaga, terutamanya di Kelantan.

“Kita sejak dari dulu hingga kini, tidak pernah sekali pun khianati sahabat. Kita tidak suka budaya tikam belakang. Kalau nak tikam, tikam depan-depan,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Karnival Ekonomi Anak Muda Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, Setiausaha Biro Penerangan PPBM, Deen Qassim, Naib Presiden PKR, Tian Chua, dan ramai lagi.

Menurutnya, PAS telah berkali-kali dikhianati iaitu semasa berada di dalam BN dan ketika menjalinkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ini.

Beliau juga memberitahu, malah PAS bukanlah ‘tangga’ untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga parti itu dilupakan apabila sudah sampai ke atas puncak.

“Bila sampai atas, lupakan tangga yang naik tadi. Kena ingat, tidak selamanya kita berada di atas, satu masa mesti kita mahu turun. Masa itu, tangga juga yang dicari nanti," katanya.

Sumber: Sinar Harian