ALOR SETAR - Hampir 90 peratus pemain bola sepak pasukan negeri Kedah telah berjaya dikekalkan untuk terus bermain bersama skuad kebanggaan negeri Jelapang Padi itu bagi musim depan Liga Super 2017 nanti.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, pemain terbaik final Piala Malaysia 2016, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali, juga sudah menandatangani kontrak baru untuk bermain dengan pasukan Hijau Kuning pada musim depan.
"Yang sudah sambung kontrak dengan kita adalah Rizal Ghazali, Syazwan Zainon.. itu yang tamat kontrak tapi sudah disambung semula.
"Ifwat penjaga gol kita dah sign, Keon (Khairul Helmi Johari) dah sign, Bad (Baddrol Bakhtiar) masih lagi ada kontrak dengan kita, penjaga gol kita Hadi, dan semua yang lain," katanya dalam sidang media selepas Kongres KFA ke-41 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, semalam.
Aminuddin turut mengesahkan tentang status pemain import yang kekal bersama Kedah yang melibatkan pemain yang menjadi rebutan banyak pasukan, Liridon Krasniqi, dan Sandro Da Silva yang kini sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan serta masih mempunyai kontrak dengan KFA.
Jelas beliau, antara pemain import yang tamat kontrak namun ditidak diperbaharui kontraknya adalah Bang Seung Hwan, Thiago Agusto, Shane Smeltz dan bekas pemain Perak, Azmeer Yusof.
Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri itu turut menjelaskan bahawa Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sedang meneliti beberapa pemain yang disenarai pendek dari negara Uzbekistan dan Korea Selatan untuk dinilai kesesuaian mereka menyarung jersi Hijau Kuning.
Cheng Hoe sebelum ini memberitahu Kedahnews.com tentang pihaknya yang sedang mengintai beberapa pemain import dari negara berkenaan termasuk Australia bagi memenuhi kuota import Asia yang kosong.
"Awal Disember ini mungkin mereka akan datang, kita kena tengok pemain itu sama ada dia ada kontrak, kelab sudah lepaskan dia atau belum, atau dia datang dan boleh tandatangan kontrak, boleh juga jadi begitu.
"Kita akan cari dari 2 - 3 negara juga, Australia, Uzbekistan.. dalam masa yang sama mungkin Korea," katanya.
Kata Aminuddin, KFA pada musim depan bukan saja mensasarkan untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang disandang, malah turut meletakkan sasaran kepada beberapa kejuaraan lain yang disertai. -Kedahnews.com