EMBUN dinihari menjemput Haji Ismail sebaik sahaja pintu keretanya dibuka. Cuaca dingin disulami angin sepoi-sepoi bahasa mengundang orak langkahnya ketika menuju ke rumah Allah. Seperti biasa, Haji Ismail mencari saf kegemarannya. Dan seperti biasa juga, setelah selesai menunaikan solat tahiyattul masjid, rakan masjidnya, Haji Rahman datang duduk bersila di sebelah beliau. Mereka saling bertanya khabar, sambil berborak-borak kosong, menunggu tibanya waktu untuk berdepan dengan Pencipta sekalian alam.
Dengan tiba-tiba, ketenangan tafakur dinihari itu dikejutkan dengan bisikan-bisikan para jemaah yang berada di bahagian belakang dewan solat masjid tersebut. Haji Ismail terpinga-pinga mencari sumber yang menjadi asas bisikan rakan-rakan jemaah itu. Riak muka dan tuding mata rakan-rakannya itu ditujukan kepada seorang lelaki berkulit cerah yang berkopiah serta berjubah, yang mengorak langkah menuju ke saf pertama.
“Haji, rasa macam kenal je jemaah tu? Tapi dia orang barukan? Sebelum ini, tak pernah nampak pun,” kata Haji Ismail.
“Subhanallah, rasanya, itu Agong kitalah.”, kata Haji Rahman.
Pelbagai perasaan menghantui jemaah pada ketika itu. Seakan tidak percaya, terkesima dan kagum apabila melihat Yang di-Pertuan Agong mendirikan solat dan berjemaah bersama dengan rakyat jelata di rumah Allah itu. Tiada karpet merah menyambut Seri Paduka mahu pun pengawal mengiringi Tuanku.
Ternyata Tuanku sedar bahawa dirinya sama seperti rakyat jelata yang lain di sisi Allah. Apa yang jelas, tindakan Yang Di-Pertuan Agong itu sememangnya menggambarkan sikap seorang pemerintah yang tugasnya adalah untuk menjaga dan memelihara agama Islam.
Mungkin ramai yang tidak tahu terutamanya anak-anak muda dewasa kini bahawa agama Islam sudah lama bertapak di benua Asia. Meskipun telah dijajah oleh kuasa-kuasa asing yang turut membawa masuk dan menggubal undang-undang mereka sendiri, agama Islam tetap menjadi agama rasmi untuk masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu.
Malah, setelah tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, agama Islam terus diamalkan dan diiktiraf sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (‘Perkara 3(1)’). Perkara 3(1) memperuntukkan bahawa agama Islam adalah ‘agama bagi Persekutuan’. Walau bagaimanapun, agama-agama lain bebas untuk diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan ini.
Sekali imbas, Perkara 3(1) ini amat jelas dan senang untuk difahami, namun dari segi undang-undang, interpretasi Perkara 3(1) ini bukanlah sesuatu yang mudah. Mahkamah Persekutuan sering kali ditugaskan untuk memberi interpretasi undang-undang kepada Perkara 3(1) ini melalui cabaran yang diajukan oleh litigan-litigan.
Berdasarkan pengalaman penulis, sekiranya sesuatu undang-undang itu melibatkan agama Islam, ia akan mengundang kontroversi. Contohnya, penulis terlibat dengan suatu kes berkenaan litigan pondan beragama Islam yang mencabar keesahan undang-undang Islam di sebuah negeri di Semenanjung.
Undang-undang tersebut menyatakan antara lain bahawa perbuatan memakai pakaian perempuan oleh kaum lelaki sebagai suatu kesalahan. Walau bagaimanapun dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa cara prosiding dimulakan oleh litigan tersebut adalah salah, meninggalkan isu yang dibangkitkan oleh litigan tersebut tidak terjawab.
Kontroversi ini tidak terhad kepada undang-undang sedia ada. Ia juga berlaku baru-baru ini apabila satu rang undang-undang yang hanya baharu hendak dicadangkan, menghadapi tentangan hebat daripada banyak pihak, termasuklah pihak yang beragama Islam. Malah, rakan-rakan penulis sendiri tidak bersetuju dengan cadangan rang undang-undang itu sedangkan mereka sendiri tidak pernah membaca cadangan rang undang-undang tersebut.
Apa yang ingin penulis sampaikan adalah kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Ini jelas dari pembacaan literal Perkara 3(1). Undang-undang berkenaan dengan agama Islam boleh digubal selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini disokong oleh kes Zi Publications Sdn. Bhd. & Anor v. Kerajaan Negeri Selangor; Kerajaan Malaysia & Anor (Intervener) (2015) 8 CLJ 621 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lainnya:
“(2) Tujuan Dewan Perundangan Negeri Selangor (DPNS) menggubal seksyen yang dipersoalkan adalah jelas iaitu untuk mengawal penerbitan keagamaan yang bertentangan dengan Islam. Ia juga adalah satu langkah untuk melarang penyebaran mana-mana kepercayaan dan ajaran salah dalam kalangan orang Islam melalui penerbitan apa-apa buku atau dokumen atau sebarang bentuk rekod yang mengandungi sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang Islam. Apa yang bertentangan dengan undang-undang Islam adalah tidak diragui, bertentangan dengan panduan Islam. Justeru, DPNS telah bertindak dalam kuasa perundangan dalam menggubal seksyen yang dipersoalkan...
(3) Orang Islam di Malaysia bukan saja tertakluk kepada undang-undang awam yang digubal oleh Parlimen tetapi juga kepada undang-undang negeri bersifat keagamaan yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri. Ini kerana Perlembagaan membenarkan Badan Perundangan Negeri untuk menggubal dan menguatkuasakan kesalahan terhadap panduan Islam. Mengambil Perlembagaan secara keseluruhannya, jelas bahawa adalah niat perangka-perangka Perlembagaan untuk membenarkan orang Islam di negara ini untuk juga ditadbir oleh undang-undang peribadi Islam. Justeru, orang Islam di negara ini dengan itu tertakluk kepada kedua-dua undang-undang awam yang digubal Parlimen dan juga undang-undang negeri yang digubal Badan Perundangan Negeri.”
Berdasarkan kes di atas adalah jelas bahawa undang-undang berasaskan agama Islam boleh digubal dengan syarat ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, penulis tidak nampak mengapa keesahan undang-undang Islam sedia ada dipertikaikan atau cadangan undang-undang Islam baharu dibantah.
Selagi bersesuaian dengan ajaran agama Islam itu sendiri dan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, tiada apa yang boleh menghalang penggubal untuk menggubal undang-undang Islam demi kesejahteraan masyarakat beragama Islam di negara ini.
Yang di-Pertuan Agong kita jelas amat peka dengan martabat dan keistimewaan Islam. Bukankah tiba masanya untuk kita mencontohi Agong kita?
Sumber: DATUK M REZA HASSAN ialah pengamal undang-undang/Utusan