Kerajaan Campuran Akan Beri Kelebihan Pada PAS - Penganalisis


ALOR SETAR - Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berpendapat, sekiranya PAS membentuk kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN), pastinya akan memberi kelebihan pada PAS.

"Tetapi dengan syarat mereka mempunyai jumlah ahli parlimen yang signifikan.

"Sekiranya tidak, PAS akan dilihat sebagai parti tumpangan sahaja dalam kerajaan campuran Barisan Nasional," katanya.

Mohammad Fuad memberitahu, sebelum ini PAS pernah bergabung dengan BN dan tidak mustahil akan berlaku sekali lagi berdasarkan trend dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin parti itu.

"Sekiranya PAS tidak bersama BN, parti itu akan berjuang bersendirian kerana nampak sukar untuk bersama Pakatan Harapan yang ada PAN dan DAP," katanya, memetik laporan Sinar Harian, semalam.

Media semalam melaporkan, PAS melalui Naib Presidennya, Idris Ahmad menafikan kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa PAS dan UMNO berkemungkinan bekerjasama bagi mewujudkan kerajaan campuran pada PRU14.

Idris berkata, PAS masih berada di pihak pembangkang dan tidak akan bekerjasama dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan campuran.

Walau bagaimanapun, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam satu kenyataannya semalam tidak senada dengan Idris, sebaliknya tidak menolak untuk membentuk kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN).

Jelas Dr Mahfodz, PAS tidak menolak kemungkinan itu asalkan BN menghormati PAS, namun tetap menegaskan pendirian parti Islam itu untuk tidak akan sesekali bekerjasama dengan DAP dan Amanah, yang kini mempunyai kerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Selain Dewan Ulama PAS, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki baru-baru ini berkata parti itu bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana pakatan politik selepas pilihan raya umum akan datang untuk menubuhkan kerajaan campuran. -Kedahnews.com