Kerajaan Campuran BN-PAS: Pemuda UMNO Alor Setar Sambut Baik


ALOR SETAR - Kesediaan PAS untuk membentuk kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu keputusan yang positif menandakan parti berkenaan tidak lagi semberono di persada politik negara.

Beliau yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, pandangan beliau menyambut baik kenyataan PAS tersebut dan yakin bahawa BN sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana parti, termasuk PAS.

"Pada saya, itu satu perubahan positif dari pihak PAS. Secara tidak langsung politik matang PAS, tidak seperti beberapa parti pembangkang lain yang kini lebih cenderung mencetus dan menghasut kebencian rakyat terhadap kerajaan. Ini boleh mengundang politik dan sebuah kerajaan yang tidak sihat di masa akan datang.

"Saya yakin BN juga terbuka untuk menerima mana-mana parti untuk menyertai sebahagian dari komponen BN, termasuk PAS. Jika kena dengan caranya dan persefahamannya, tidak mustahil PAS akan sama-sama membentuk kerajaan campuran dengan BN," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Syed Hafiz diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang disokong Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed bahawa parti itu bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU ke-14.

Mengulas lanjut, Syed Hafiz berkata bahawa UMNO dan parti-parti komponen BN telah lama sepakat dalam membentuk konsesi persefahaman serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Justeru itu beliau yakin bahawa tidak timbul isu untuk parti-parti di dalam BN menghormati PAS kerana konsep berkenaan sememangnya menjadi amalan parti BN sejak di zaman Parti Perikatan lagi.

"Sudah tentulah ia memerlukan perbincangan yang teliti dalam usaha membentuk persefahaman antara PAS dan BN. Bertolak ansur itu sangat penting dan saya yakin Datuk Seri Mohd Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi mampu bertemu banyak titik persamaan bersama.

"Gaduh sikit-sikit itu biasalah dengan adik beradik...

"Sebenarnya tidak jauh berbeza antara pejuangan UMNO dan PAS. Yang perlu hanyalah keikhlasan, toleransi, saling memahami dan hormat menghormati dalam mencapai kata sepakat," ujar beliau.

Mengulas mengenai kerisauan segelintir pihak di dalam PAS tentang kemungkinan "pisang berbuah dua kali" ekoran sejarah disingkir dari BN sebelum ini, Syed Hafiz menjelaskan pendekatan pemimpin dan zaman adalah berbeza.

"Di zaman itu mungkin lain pemimpinnya dan pendekatan setiap pemimpin itu berbeza. Tun M dulu pun agak keras pendekatannya terhadap PAS dan menolak hudud. Tapi berbeza pendekatan Dato' Seri Mohd Najib yang lebih sederhana dan berkonsepkan wasatiyah.

"Saya melihat pendekatan Dato' Seri Mohd Najib dan Dato' Seri Abdul Hadi amat mementingkan perpaduan di kalangan rakyat, khususnya umat Islam. Saya yakin perbezaan yang remeh akan diketepikan demi kebaikan bersama," kata beliau lagi.

Ujar beliau, sekiranya UMNO dan PAS membentuk kerjasama sama ada PAS menyertai BN atau membentuk kerajaan campuran bersama, ia merupakan satu langkah yang baik untuk politik negara, khususnya dalam usaha menyatupadukan umat Islam.

"Kita sudah dirobek-robek dan dipecah lima (parti) hanya kerana politik. Masih lagi tidak sedar? Sampai bila tak mahu sedar?

"Jadi sekiranya perkara ini benar-benar berlaku dengan izin Allah nanti, maka ia merupakan titik permulaan baru bagi penyatuan umat Islam di Malaysia. Sama-samalah kita doakan," katanya.

Sementara itu, kegagalan pihak Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menampilkan kabinet 'bayangan' mereka telah menyebabkan gabungan blok pembangkang itu turut sekaligus gagal meyakinkan rakyat.

Kata Syed Hafiz, kegagalan itu berkemungkinan besar berpunca dari perebutan kerusi pilihan raya di kalangan empat parti pembangkang, DAP, PKR, PAN dan PPBM, yang gagal mencapai kata sepakat di antara mereka.

"Sehingga hari ini Pakatan Harapan dan PPBM masih gagal memberikan barisan kabinet bayangan mereka, ia berbeza dengan sebelum ini di mana Pakatan Harapan akan mengeluarkan kabinet bayangan mereka setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

"Puncanya berkemungkinan besar akibat masalam pembahagian kerusi hingga kini masih gagal diselesaikan. Saya yakin, PPBM akan 'merampas' beberapa kerusi milik PKR, PAN dan PKR pada PRU ke-14 nanti," katanya mengulas mengenai perkembangan blok parti pembangkang itu. -Kedahnews.com