Kerjasama UMNO-PAS Pamer Kematangan Berpolitik


KUALA LUMPUR – Kesepakatan UMNO dan PAS berada di ‘pentas’ sama memperjuangkan isu kemanusiaan etnik Rohingya di Myanmar kelmarin menunjukkan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan fahaman bagi isu-isu yang melibatkan umat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerjasama itu hanya berlandaskan isu kemanusiaan yang menjurus ke arah kebaikan.

“Ini memberikan mesej kepada rakyat bahawa kita harus matang dalam berpolitik,” katanya ketika di temui pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Himpunan aman solidariti di Stadium Titiwangsa itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan PAS serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.

Himpunan aman solidariti itu bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya di Myanmar, terutama di perkampungan Rohingya di Rakhine.- BERNAMA