Kesal Kerana Dr Mahathir Kini Bekerja Untuk DAP


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan melahirkan rasa dukacita ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beliau sanggup dipergunakan oleh DAP untuk memburuk-burukkan parti politik terbesar kaum Melayu negara ini iaitu UMNO.

Kata beliau, UMNO tidak kisah jika Mahathir hendak berkawan dengan DAP sehingga ke tahap memeluk penasihatnya, Lim Kit Siang gara-gara terlalu kecewa, tetapi beliau tidak sepatutnya mengikut perangai parti chauvinis itu.

“Kita boleh berbeza pendapat, kita boleh bertelagah dalam hal politik, namun biarlah bersandarkan fakta. Bercakaplah benar walaupun pahit. Mahathir hendak berkawan dengan DAP, hendak peluk Kit Siang pun tak kisah.

“Hari ini kerja-kerja ‘jahat’ yang sering dilakukan DAP bagi merosakkan imej UMNO diambil alih Mahathir. DAP kini sudah boleh duduk diam kerana Mahathir sudah bekerja untuk mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sohaimi turut mempersoalkan sama ada Mahathir terlupa bahawa beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri amat anti media asing kerana sering mencari ruang untuk memburuk-burukan kerajaan Malaysia dibawah pentadbirannya.

Kataya, Mahathir mungkin terlupa bagaimana projek mega pelaksanaannya seperti KLCC dan Putrajaya suatu masa dahulu pernah dicanang sebagai satu pembaziran.

Malangnya, kata beliau, Mahathir kini membuat kenyataan-kenyataan yang tidak berasas mengenai kerajaan Malaysia bagi memberi peluang kepada media barat untuk melebarkan persepsi buruk terhadap negara dibawah pentadbiran Perdana Menteri baharu. –Kedahnews.com