"Kita Jangan Malas Layan Peminat..." - Ayda Jebat


JIKA diperhatikan, nama Ayda Jebat pasti akan menjadi pemenang bagi satu-satu kategori mahupun anugerah yang berasaskan 100 peratus daripada undian peminat.

Malah ada yang secara sinis berkata, kalau anugerah itu bersandarkan kepada populariti semata-mata, pasti nama Ayda yang akan menjadi sang suara.

Terbaharu, namanya sekali lagi menang besar apabila dianugerahkan tiga trofi Anugerah Melodi menerusi Personaliti Sensasi, Personaliti Media Sosial dan Personaliti Muzik Melodi.

“Pada saya sebagai artis kita jangan malas layan peminat kerana sokongan mereka, saya berada di mana saya sekarang. Terlalu banyak jasa mereka pada karier saya walaupun kami tiada pertalian darah tetapi kasih saya mereka cukup kuat.

"Sebab itu walaupun sibuk saya tetap cuba mencari peluang bersama peminat atau paling tidak membalas komen dan pertanyaan di laman sosial,” katanya, memetik mStar.

Setakat ini Ayda sudah mengumpul sebanyak 10 buah trofi sejak karier seninya bertambah rancak bermula tahun lalu.

Menurut Ayda lagi, dia berharap tiada pihak akan mempertikaikan kemenangannya kerana ia merupakan hasil usaha peminatnya, AJ Screamers yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya sejak dari dahulu lagi.

“Saya harap tiada mempertikaikan kemenangan saya kerana ini adalah usaha peminat dan walaupun ia bukan pemilihan juri tetapi ia sangat bermakna kepada saya,” katanya lagi. –Kedahnews.com