KAHERAH – Sepasukan arkeologi tempatan berjaya menemui apa yang mereka dapat gambarkan sebagai sebuah kota kuno Mesir yang dianggarkan berusia lebih daripada 7,000 tahun.
Penemuan bandar Mesir purba itu terdiri daripada banyak binaan bangunan dipercayai struktur rumah selain peralatan harian, tembikar dan kawasan perkuburan besar, menurut laporan stesen penyiaran antarabangsa BBC.
Lokasi penemuan itu terletak di tepi sungai Nil, dekat dengan Kuil Seti pertama di Abydos, kira-kira 597 kilometer dari ibu kota Kaherah dan 173 kilometer dari Luxor, tapak muzium arkeologi terbuka yang terbesar di dunia.
Lebih menarik, pengkaji sejarah menyatakan bahawa ukuran 15 petak kuburan dijumpai di situ menunjukkan status sosial tinggi dari kalangan mereka dikebumikan sekali gus menggambarkan taraf elit Abydos suatu masa dahulu.
Penyelidik arkeologi malah berasa yakin, kota kuno tersebut kemungkinan besar didiami ramai pegawai penting kerajaan selain pembangun makam. Kota besar itu dipercayai berkembang pesat selama era awal Mesir purba.
Penemuan tersebut dijangkakan bakal menjadi pendorong bagi industri pelancongan Mesir yang ketika ini tengah ‘lesu’ sejak rejim Presiden Hosni Mubarak digulingkan pada tahun 2011 lalu susulan gerakan Arab Spring.
Laporan para pengkaji arkeologi Mesir itu bagaimanapun bercampur-campur, dengan meliputi pelbagai bangunan, pecahan seramik dan perkakas kehidupan harian penduduk yang diperbuat daripada unsur logam dan batu.
Namun yang paling signifikan ialah penemuan sejumlah kuburan besar tersebut. Dari segi rekod usia, ia jauh lebih tua daripada zaman Nabi Musa A.S. dan Bani Israel yang pernah hidup sekitar 1,400 tahun Sebelum Masihi.
Lokasi purba itu diyakini penyelidik sebagai dihuni para penjawat awam penting dan pemaju makam yang mungkin terlibat secara langsung dalam pembangunan kuburan kerabat diraja istana di kota suci Abydos tidak jauh dari sana.
Ia dipercayai merupakan sebuah tempat yang penuh dengan kuil, berdekatan ibu kota ketika tempoh awal sejarah Mesir kuno dan penemuan berharga ini merupakan berita yang sangat menggembirakan banyak pihak.
Bukan hanya pakar arkeologi Mesir moden bahkan penyelidik antarabangsa. Penemuan itu berlaku ketika Mesir sedang ‘bangkit’ industri pelancongan domestik yang terpukul akibat kekacauan politik berlarutan sekian lama.
Pegawai tempatan menyatakan bahawa pasukan yang menemui kota tua itu melibatkan gabungan misi arkeologi bernaung di bawah Kementerian Purba Mesir tanpa penglibatan warga asing. – Agensi