KPDNKK Kedah Lupus Barang Kes Bernilai RM204,897

Mohamed Aznanshah melihat barangan kes yang dilupuskan dalam operasi pelupusan berkenaan di sini, semalam.
SUNGAI PETANI - Barang kes Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah bernilai RM204,897 dilupuskan untuk siri ke-4 tahun ini melibatkan 68 kes dari tahun 2008 hingga 2016.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, KPDNKK  Negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata terbabit merupakan 51,908 keping cakera pada dan video cakera padat, 669 unit pelbagai barangan tiruan melibatkan aksesori telefon, beg sandang, aksesori pakaian, pakaian dan kopi jantan termasuk sebuah van.

Menurutnya, terdapat juga kes rampasan produk minuman kesihatan dan serbuk masakan melibatkan kes penggunaan  logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak Jakim.

"Kesalahan produk minuman air menyejuk badan disabitkan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak Jakim yang dirampas di sebuah kilang dekat Jitra membabitkan nilai rampasan RM4770.

"Serbuk masakan juga melibatkan kes logo halal tidak diiktiraf oleh pihak Jakim yang dibawa masuk dari luar negara ke pasaran tempatan yang dirampas sebuah kedai mini market dekat Sungai Petani membabitkan nilai rampasan RM1,017," katanya ketika mengetuai operasi pelupusan berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Cawangan KPDNKK Sungai Petani, Sha'arani Miskat.

Mohamed Aznanshah berkata kesemua barangan yang dilupuskan melibatkan kes bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,

"Pelupusan barang kes ini merupakan yang ke-empat dilakukan tahun ini dan kesemua barangan terbabit sudah pun mendapat arahan pelupusan dan perintah mahkamah untuk dilupuskan daripada lima cawangan KPDNKK dari seluruh Kedah.

"KPDNKK akan memantau syarikat yang sudah pun disabitkan kesalahan dan sekiranya masih melakukan kesalahan buat kali kedua dan seterusnya, tindakan mahkamah akan diambil," katanya.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan kes yang dihasilkan KPDNKK Kedah bermula tahun 2008 hingga 2016 ialah sebanyak 283 kes melibatkan pelbagai kesalahan.

"Nilai keseluruhan rampasan untuk tempoh berkenaan  di Kedah melibatkan RM898,941  bagi pelbagai kesalahan," katanya.

Sumber: Sinar Harian