Lahir Tanpa Kedua Belah Tangan Tak Halang Aliah Jadi Pelukis

Beberapa pengunjung melihat lukisan dihasilkan Aliah dalam Pameran Bicara Lebuhraya di Muzium Kedah, di sini, November lalu
ALOR SETAR - Walaupun dilahirkan tidak sempurna, namun ia tidak menghalang buat seorang gadis kurang upaya (OKU) untuk mengukir nama menjadi seorang pelukis.

Malah, kunjungan media ke kediamannya di Taman Sri Taman, Jalan Sultanah, di sini amat bermakna apabila karya seni dihasilkan gadis kecil molek itu memberi inspirasi dan menyentuh hati.

Aliah Talib, 29, merupakan anak bongsu daripada tujuh adik beradik kepada pasangan Talib Harun, 71, dan Kalsom Senawi, 63, dilahirkan tanpa kedua belah tangan.

"Kekurangan diri buat saya malu, rendah diri dan takut nak bergaul dengan orang ramai. Saya juga tak sekolah sebab kurang yakin dengan kekurangan dimiliki.

"Jadi saya hanya belajar menulis dan membaca daripada adik beradik lain. Saya lebih suka duduk di rumah saja habiskan masa melukis seperti dilakukan sejak usia sembilan tahun," katanya.

Menurutnya, cadangan ahli keluarga agar menambah ilmu dan membaiki kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLP), Bangi mengubah hidupnya 360 darjah.

"Di sana saya tengok ramai kawan istimewa senasib. Malah ada yang lebih teruk.

"Tapi mereka tak putus asa nak capai cita-cita, sekali gus beri semangat pada saya untuk berubah," katanya.

Aliah berkata, teknik melukisnya bertambah maju selepas empat tahun mendalami Kursus Seni Lukisan di PLP tersebut, malah dia berjaya mengubah sikap rendah diri dan meneruskan hidup positif.

"Saya guna kaki kanan untuk mencengkam dan memegang peralatan dengan kuat sebelum hasilkan sebarang jenis lukisan abstrak, panorama ataupun batik.

"Saya amat meminati lukisan batik berbanding biasa. Walaupun rumit kerana memerlukan kemahiran canting, saya juga perlu guna lilin untuk melukis," katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan dia pernah terkena lilin ketika mecanting, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan karya seni.

Kini, Aliah tidak hanya aktif membabitkan diri dalam Persatuan Artis Lukisan Mulut dan Kaki (MFPA), malah sering mengikuti konvoi kelab kereta disertainya.

Mampu pandu kereta, celik IT


Memegang status OKU bagaimanapun tidak melemahkan semangat Aliah untuk berdikari bergerak ke destinasi diingini kerana dia mahir memandu kenderaan yang sudah diubah suai ikut ketinggian.

"Saya boleh memandu sendiri kereta ke mana saja dengan menggunakan kedua-dua belah kaki memegang stereng.

"Kalau ke pasar raya sendirian, saya akan keluarkan duit lebih awal untuk bayar ataupun meminta pertolongan. Kadangkala ada individu baik hati membantu bawa barang hingga ke kereta," katanya.

Katanya, dia tidak kekok untuk memandu sendiri, malah mampu melakukan urusan harian lain menggunakan kaki, seperti mengguna gajet seperti manusia normal.

"Saya boleh menaip seperti biasa guna komputer atau telefon pintar untuk berkomunikasi, berhubung dan menyelesaikan kerja," katanya.

Tambahnya, dia mampu berdikari melakukan pelbagai aktiviti harian kerana pernah tinggal di asrama PLP selama empat tahun.

Dipandang pelik kerana kekurangan

Meskipun, dia optimis berhadapan kekurangan dimiliki, tindakannya adakalanya disalah anggap orang awam, terutamanya mereka yang baru pertama kali melihat dia.

“Ada beberapa kali, pemandu kenderaan melihat Aliah dengan pelik, hanya disebabkan meletakkan kaki atas stereng kereta. Namun, Aliah abaikan pandangan mereka kerana sudah biasa,” katanya.

Katanya, dia adakalanya berasa janggal berada di tempat baharu kerana sering diperhatikan orang awam tak kira ke mana sahaja lokasi disebabkan kekurangan dimiliki.

"Dari situ timbul idea untuk menghasilkan sebuah lukisan wanita dan mata, yang menceritakan dugaan ditempuhi sepanjang meneruskan hidup ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, ada yang prihatin apabila melihat keadaan dirinya terutamanya ketika keluarga bersendirian, apabila membantu membawa barangan.

"Saya menasihatkan mana-mana individu dikategorikan OKU tidak cepat berputus asa, sebaliknya cuba mencari kemahiran dimiliki," katanya.

Sumber: Sinar Harian