Langkah Baru BNM Mampu Sokong Ringgit, Perkukuh Rizab


KUALA LUMPUR - Langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan mudah tunai pasaran tukaran asing bermula semalam dilihat mampu menyokong ringgit dan memantapkan kedudukan rizab tukaran asing negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata langkah BNM itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan pengaruh pasaran kontrak hadapan tidak boleh diserah (NDF) bagi ringgit yang jelas banyak menimbulkan masalah dari segi pemulihan harga di dalam pasaran ringgit domestik.

Selain itu, katanya, penetapan had 25 peratus bagi pengeksport untuk mengekalkan pegangan penerimaan hasil perolehan eksport dalam mata wang asing seharusnya dapat membantu meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

"Ini bermakna 75 peratus daripada jumlah hasil eksport perlu ditukar kepada ringgit. Langkah ini seharusnya membantu proses meningkatkan nilai ringgit berbanding mata wang asing.

"Secara keseluruhan, langkah ini mampu membantu menstabilkan nilai ringgit dalam jangka pendek dan sederhana," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai langkah baharu yang diumumkan BNM, Jumaat lalu.

Mengikut peraturan baharu yang berkuat kuasa hari ini, pengeksport hanya boleh mengekalkan 25 peratus daripada hasil eksport mereka di dalam mata wang asing dan bakinya perlu ditukar dalam ringgit.

Pengeksport mempunyai masa selama enam bulan untuk menukarnya kepada ringgit.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd percaya langkah bank pusat itu penting untuk meningkatkan rizab tukaran asing negara terutama dalam dolar Amerika Syarikat (AS), yang menyediakan sokongan kepada ringgit serta mengekang spekulasi berlebihan dalam pasaran tukaran asing.

Katanya, dilaporkan jumlah pegangan pengeksport dalam mata wang asing dijangka menghampiri paras RM90 bilion ketika ini.

"Menerusi langkah dilaksanakan Bank Negara, kami percaya penghantaran balik dan penukaran lebihan perdagangan oleh pengeksport daripada mata wang asing kepada ringgit akan membantu meningkatkan rizab antarabangsa serta menyokong asas ekonomi negara," katanya.

Ketika ini, rizab antarabangsa BBM terus meningkat secara beransur-ansur berdasarkan asas bulanan kepada RM405.5 bilion (AS$98.3 bilion) berbanding RM390.4 bilion (AS$97.2 bilion) setakat akhir Jun tahun ini.

RHB Research pula berpendapat secara keseluruhannya, langkah BNM itu bermatlamat mewujudkan pasaran pertukaran asing mantap, telus dan berfungsi dengan lebih baik, dengan pelabur tulen dan peserta pasaran dapat mengurus risiko pasaran secara lebih fleksibel dalam melindung nilai dalam pasaran negara.

Dalam tempoh terdekat, firma penyelidikan itu berkata, langkah berkenaan dijangka menyediakan sokongan terhadap ringgit, apabila keuntungan hasil eksport ditukar ke dalam mata wang tempatan.

"Dalam jangka sederhana, kami yakin usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia, bagi menyokong ringgit," kata RHB Research.

Sementara itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berharap BNM akan menyemak semula dasar baharu itu yang memerlukan pengeksport menukar 75 peratus hasil pendapatan dalam mata wang asing kepada ringgit kerana ia memberi kesan buruk kepada industri sarung tangan getah.

Presiden MARGMA, Denis Low Jau Foo berkata, dasar bank pusat itu bermakna kini menjadi tanggungjawab pengeluar untuk segera menukar tiga suku daripada mana-mana mata wang asing yang diterima kepada ringgit.

Katanya, industri sarung tangan getah sentiasa menggunakan mata wang AS sebagai lindung nilai semula jadi untuk mengurangkan kos dan harga mereka.

"Antara 50 hingga 55 peratus daripada mata wang asing akan digunakan untuk mengimbangi perbezaan dalam pembelian bahan mentah seperti sintetik dan susu getah serta bahan kimia yang diperlukan untuk pengeluaran sarung tangan getah," katanya.

INFO


* Di bawah peraturan baharu berkuat kuasa Isnin, pengeksport hanya boleh mengekalkan 25 peratus daripada hasil eksport mereka di dalam mata wang asing dan bakinya perlu ditukar dalam ringgit.

* Pengeksport mempunyai masa selama enam bulan untuk menukarnya kepada ringgit.


Sumber: BH Online