Lantang Bersuara, Pemuda PAS Ucap Tahniah Kepada Kerajaan


KUALA LUMPUR – Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana berani bersuara lantang dalam memperjuangkan nasib etnik muslim Rohingya.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, padanya kerajaan Malaysia dengan berani melangkah setapak lagi ke depan dalam isu tersebut.

“Ia adalah permulaan bagi kerajaan kita yang sudah lama dituntut oleh rakyat untuk bertindak lebih berani dan proaktif,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

UMNO dan PAS sebelum ini mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan solidariti ke atas etnik muslim Rohingya yang ditindas dengan kejam di Myanmar.

Perhimpunan itu dihadiri dua pemimpin utama UMNO dan PAS iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nik Mohamad Abduh berkata, PAS sangat berbesar hati menjadi peserta dan penggerak utama mobilisasi perhimpunan berkenaan.

“Harapan kita adalah besar agar negara kita berjaya menggerakkan seluruh negara Islam dan juga kekuatan antarabangsa,” katanya. –Kedahnews.com