Lebih 2,000 Sertai Himpunan Solidariti Rohingya Di Dataran Zero Sg Petani


SUNGAI PETANI – Lebih 2,000 orang menyertai Himpunan Solidariti Bersama badan bukan kerajaan (NGO) Sungai Petani, di Dataran Zero Kilometer dekat sini, bagi membantah penindasan dan kezaliman terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar.

Bendahari program, Samsuddin Said berkata, perhimpunan itu membabitkan lapan NGO termasuklah Persatuan Komuniti Bandar Sungai Petani (SP City), Pertubuhan Kebajikan Al-Amin (Al-Amin) Kedah, dan Pertubuhan Kebajikan Silaturrahim Malaysia (Sirah) Kedah.

Turut serta, Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas Kedah), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Petani, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Amanjaya Sepakat (Perkemas), Pertubuhan Nadi Persahabatan Kepala Batas (NPKB) dan Pertubuhan Warisan Tanahair Ekonomi (WTE).

“Kami mencapai kata sepakat menerusi perhimpunan ini, antaranya meminta Kerajaan mendesak OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) atau PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), menghantar wakil pemerhati ke sana,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

“Kekejaman terhadap etnik Rohingya itu tidak dapat diterima akal, di luar batas kemanusiaan, dan sudah tiba masanya ASEAN mengambil tindakan sekiranya Myanmar terus bersikap sebagai negara yang tiada tamadun,” katanya.

Sementara itu, perhimpunan selama sejam, bermula pukul 3 petang itu, berjaya mengumpul dana berjumlah RM867.

Sumbangan itu kemudiannya diserahkan oleh pengerusi penganjur program, Wan Mohamad Akil Wan Ali kepada wakil Media Prima Bhd, R Kumaran untuk dimasukkan ke dalam Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima. – BERNAMA