Lebih 47,000 PATI Ditahan Sehingga 6 Disember


KUALA LUMPUR – Seramai 47,968 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara dari 1 Januari hingga semalam (6 Disember), Dewan Negara diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata PATI berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara serta beberapa agensi lain.

“Seramai 1,105 majikan turut ditahan dan 24 sindiket ditumpaskan dalam tempoh tersebut. Mereka yang ditahan itu didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak 10,184 operasi bersepadu telah dijalankan secara berterusan oleh agensi terbabit dan seramai 164,416 PATI diperiksa,” katanya ketika menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed mengenai bilangan pelancong asing dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap mereka yang masuk ke Malaysia tetapi tidak keluar dan gagal dikesan.

Sementara itu, Masir berkata bilangan pelancong asing yang masuk ke negara ini menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 46,633,723 orang berbanding 24,334,240 sehingga November lepas.

“Jumlah pelancong yang keluar pula ialah seramai 45,590,836 berbanding 22,648,108 pelancong pada tahun lepas,” katanya.

Katanya perbezaan jumlah pelancong asing itu disebabkan mereka memiliki pas lawatan sosial, pas jangka panjang untuk bekerja sementara, pas residen dan pas pelajar yang membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini. – BERNAMA