Leukimia: Kanak-Kanak Mohon Bantuan Meninggal Dunia


ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit Leukemia (All Pre B) yang baru-baru ini memerlukan bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatan, meninggal dunia kelmarin.

Muhammad Fazzren Isqandar Mohamad Firdaus, 2, dari Kampung Bukit Lada, Pokok Sena yang dikesan menghidap penyakit tersebut Ogos lalu meninggal dunia pada pukul 7.30 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ayahnya, Mohamad Firdaus Ismail, 32, berkata keadaan anak sulung dari dua beradik itu semakin lemah sejak dua hari lalu.

“Tambahan pula dia tidak makan dan hanya minum susu dengan menggunakan salur tiub,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohamad Firdaus berkata keadaan kesihatan anaknya sebelum ini memang tidak mengizinkan apabila stok bekalan darah jenis O negatif yang perlu diterimanya tidak mencukupi.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan sumbangan dan bantuan bagi menampung kos rawatan anaknya itu.

Jenazah Muhammad Fazzren Isqandar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Lada, Pokok Sena, pukul 12 tengah malam semalam. – BERNAMA