LKIM Sekat 7 Jenis "Ikan Rakyat" Ke Luar Negara


KUALA ROMPIN – Sekatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengeksport tujuh jenis ikan keluar negara bermula 1 Disember hingga akhir Februari tahun depan adalah tepat bagi memenuhi permintaan rakyat golongan sasar di negara ini.

Pengarah LKIM Pahang, Yahya Mohamad, berkata, sekatan itu dikuatkuasakan mengikut Peraturan Pemasaran 1973 pindaan 2010 yang sememangnya dilakukan pada setiap tahun bagi mengatasi kekurangan bekalan ikan adalah negara pada musim tengkujuh.

Menurutnya, kesemua tujuh jenis ikan berkenaan adalah selayang, kembung, selar, pelaling, udang putih dan bawal putih yang terkenal bagi golongan berpendapatan sederhana serta ke bawah yang juga dikenali sebagai ‘ikan rakyat’.

“Dalam tempoh tiga bulan bermula Disember hingga Februari tahun berikutnya, bekalan ikan memang kurang disebabkan musim tengkujuh dan bagi menampung permintaan pengguna dalam negara, tindakan sekatan ini adalah tepat.

“Bagaimana pun sekatan itu hanya melibatkan tujuh jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna berpendapatan sederhana dan ke bawah yang menawarkan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Rompin yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin di Kompleks LKIM Rompin, di sini, semalam.

Ditanya mengenai harga ikan sepanjang musim tengkujuh, beliau memberitahu ikan akan dijual mengikut harga semasa manakala LKIM bukan badan yang berkuasa mengawal harga ikan di pasaran.

“LKIM hanya mengawal import eksport ikan dan harganya tetap dijual mengikut harga semasa, kedai hub pengedaran ikan LKIM pun tidak terkecuali akan menjual dengan harga berdasarkan pasaran semasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian