Mahfuz Perlu Rujuk PAS Kalau Dia Orang PAS, Sindir Idris Ahmad


ALOR SETAR - Kenyataan Ahli Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar yang mengherdik PAS kononnya "makan keliling" mengundang padah apabila beliau disindir sinis oleh Naib Presiden partinya, Idris Ahmad.

Tegas Idris, sekiranya Mahfuz merasakan dirinya seorang ahli PAS, beliau sepatutnya merujuk kepada partinya sendiri dan bukan hanya merujuk kepada akhbar yang berkemungkinan melaporkan sesuatu yang tidak disenanginya.

"Kena tanya dia (Datuk Mahfuz Omar) kenapa rujuk surat khabar, kena rujuklah batang tubuh, rujuklah PAS, kalau dia orang PAS," kata Idris mengulas mengenai kenyataan Mahfuz itu.


Kata Idris, sewajarnya pemimpin PAS veteran itu lebih tahu dan arif untuk merujuk kepada kenyataan rasmi parti sendiri yang tersiar di lidah rasmi PAS, Harakah.

"Kenyataan rasmi PAS ada pada Harakah, bukan maklumat diambil tepi jalan," bidas Naib Presiden PAS itu, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Mahfuz semalam yang dipetik berkata strategi PAS yang cuba "makan keliling" akan hanya menyebabkan parti itu dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Mahfuz berkata demikian merujuk kepada Kenyataan rasmi terbaru yang dikeluarkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang parti sedia membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain termasuk BN bagi membentuk kerajaan campuran selepas PRU akan datang.

Kenyataan Dr Mohd Zuhdi kemudian disokong oleh Dewan Ulama PAS yang menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan campuran asalkan parti berkenaan menghormati PAS dan prinsip dasarnya.

Namun begitu, PAS tetap bertegas dengan pendirian mereka untuk tidak sesekali bekerjasama dengan DAP dan PAN pada masa akan datang. - Kedahnews.com