ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar terus memperlekeh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah di negara ini saban tahun dari pihak Kerajaan.
Kata Mahfuz, pemberian BR1M itu hanyalah melibatkan sebanyak RM1,200 saja setahun dan tidak dapat meringankan beban rakyat meskipun untuk membeli ikan di pasar.
"BR1M 2017 sebanyak RM1200 setahun, bersamaan dengan RM100.00 sebulan atau bersamaan RM3.28 sehari. Ikan Temenung (kembong) pecah perut sekilo pun rakyat tak lepas nak beli," katanya, menyindir rezeki yang diberikan Allah menerusi kerajaan kepada lebih 7 juta rakyat di negara ini.
Memetik laporan Sinar Harian, meskipun pun mendakwa beliau konon "setuju" BR1M bukan rasuah seperti yang dituduh oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namun Ahli Parlimen Pokok Sena itu seolah-olah tidak berpuas hati sekiranya rakyat berterima kasih kepada pihak kerajaan.
"Semua pakat nafi BR1M bukan rasuah. Sedangkan ketika beri BR1M, semua penerima perlu tadah telinga dengar ceramah kempen pemimpin UMNO rayu undi dan suruh penerima berterima kasih pada kerajaan," ujar beliau.
BR1M merupakan inisiatif yang diambil kerajaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah di negara ini ekoran kos sara hidup yang meningkat selain menyalurkan bantuan kewangan kepada kumpulan sasaran.
Bantuan kewangan tersebut disifatkan sebagai dasar kerajaan yang lebih adil berbanding bantuan berbentuk subsidi sebelum ini yang turut dinikmati oleh golongan pendatang asing serta golongan kaya di Malaysia. - Kedahnews.com