Majikan Yang Paling Best Dalam Dunia


MUNGKIN inilah majikan yang paling "best’" di dunia.

Kenapa? Kerana beliau membenarkan 37 pekerjanya untuk bercuti selama mana yang mereka mahu tanpa ditolak gaji!

Boss berkenaan, Ullrich Kastner, 41, merupakan pengasas kepada syarikat broker hotel di Jerman dan beliau memutuskan pekerjanya boleh bercuti bila-bila masa, apabila mereka memerlukannya.

"Pasukan kerja saya telah membuktikan bahawa mereka boleh memikul tanggungjawab dan mereka tidak sepatutnya bekerja mengikut peraturan, tetapi bekerja ke arah mencapai sasaran," katanya.

Pada mulanya langkah itu dilaksanakan kepada sekumpulan kecil pekerjanya dan tidak lama kemudian Kastner menggunapakai kaedah berkenaan kepada semua pekerja di syarikatnya.

Menurut Kastner, kaedah baru yang dilaksanakan itu memberikan kelegaan kepadanya kerana ia mengimbangkan antara kerja dan kehidupan.

Dan tidak mengejutkan apabila pekerjanya menyambut baik perubahan terbabit. Salah seorang adalah Rebekka Oelze, 30, yang menyukai kerjanya itu.

Rebekka sebelum ini layak mendapat cuti selama 25 hari setahun dan cuti tambahan yang diberikan oleh majikannya itu akan digunakan bersama keluarganya. – Kedahnews.com