Motosikal mangsa turut dijumpai berdekatan titi batu di sungai berkenaan. Gambar kecil; mangsa |
TUNJANG - Mayat seorang remaja lelaki ditemui terapung dalam sungai yang terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya dalam satu kejadian di sini, baru-baru ini.
Mangsa, Muhammad Shahabudin Ahmad, 19, dipercayai keluar dari rumahnya menaiki motosikal kira-kira jam 10 malam tanpa membawa kad pengenalan dan telefon bimbitnya.
Kakak mangsa, Wahida Ahmad, 35, berkata, ketika kejadian adiknya memakai baju hitam dan berseluar pendek dan tidak memakai topi keledar.
“Sebelum keluar, adik sempat beritahu kepada ibu yang dia hendak keluar sekejap sebelum ibu mendapati dia tidak pulang sehingga keesokannya,” katanya kelmarin.
Menurutnya, ibunya, Fatimah Awang, 50'an tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk, kerana adiknya pernah tidur di rumah rakannya jika tidak pulang ke rumah.
“Kami hanya tahu dia meninggal dunia setelah diberitahu oleh orang kampung yang menjumpai motosikal dan mayatnya yang terapung di sungai berkenaan.
“Adik tidak menunjukkan sebarang perubahan kebelakangan ini dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kecil pada jam 5.30 petang kelmarin.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.06 pagi.
“Ketika sampai, pegawai bomba mendapati terdapat mayat seorang mangsa lemas yang terapung di permukaan air.
“Mayat dibawa naik ke daratan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian