KUALA LUMPUR - McDonald’s Corporation mengumumkan Lionhorn Pte. Ltd sebagai pemegang Lesen Pembangunan (DL) untuk pasaran di Malaysia dan Singapura.
Menurut kenyataan McDonald's, Lionhorn diterajui oleh Sheik Fahd dan Abdulrahman Alireza, yang mempunyai pengalaman sebagai DL untuk kira-kira 100 restoran McDonald's di selatan dan barat Arab Saudi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif McDonald's, Steve Easterbrook berkata urus niaga itu merupakan satu lagi kejayaan penting dalam usaha syarikat mengenal pasti rakan strategik yang turut berkongsi nilai dan visi yang samauntuk mempercepatkan lagi pertumbuhan dalam pasaran yang luas dan mendorong inovasi.
"Ia meletakkan kami lebih dekat pelanggan dan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
DL baharu itu memperoleh pemilikan untuk perniagaan McDonald’s di Malaysiad an Singapura pada 1 Dis, 2016, melibatkan 390 restoran dengan lebih 80 peratus adalah milik syarikat.
Terma kewangan dalam urus niaga itu tidak didedahkan.
Mengikut struktur DL, McDonald’s memindahkan kepentingan pemilikannya di Malaysia dan Singapura, seterusnya memberikan lesen kepada DL untuk menjalankan operasi restoran dalam pasaran itu.
Rakan niaga DL akan menyediakan modal yang diperlukan untuk menyokong dan membangunkan perniagaan serta mereka juga akan membayar kos permulaan francais dan royalti secara berterusan kepada McDonald's.
Pengurusan operasi seharian di pasaran Malaysia dan Singapura masing-masing diketuai rakan operasi tempatan iaitu Azmir Jaafar dan Kenneth Chan, kedua-duanya sebelum ini pernah memegang jawatan kanan di McDonald's dan mempunyai lebih 40 tahun pengalaman.
Azmir, yang juga Pengarah Urusan McDonald's Malaysia berkata, kepimpinan di peringkat tempatan dan maklumat pasaran menjadi kunci utama yang mendorong kejayaan perniagaan di Malaysia dan Singapura.
Menurut McDonald's, penilaian dan proses pemilihan telah dilakukan dengan cukup teliti sebelum pengumuman berkenaan dibuat.
McDonald's berkata, sebagai sebahagian daripada usaha perubahan yang diumumkan pada Mei 2015, syarikat itu komited untuk memfrancaiskan semula 4,000 restoran sehingga akhir 2018 dengan menetapkan sasaran jangka panjang untuk mencapai sekurang-kuranya 95 peratus restoran itu difrancaiskan semula.
Melalui urus niaga yang dijalankan itu, McDonald's berjaya memfrancaiskan semula kira-kira 1,300 restoran setakat ini. -Bernama