Peristiwa yang signifikan di bawah transformasi pendidikan negara telah berlaku pada penghujung November dan awal Disember 2016 apabila keputusan pentaksiran antarabangsa Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) diumumkan.
Kedua-dua pentaksiran antarabangsa ini merupakan kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menyatakan dengan jelas aspirasi sistem pendidikan negara untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang.
Apakah pengukuran TIMSS dan PISA ini? Kedua-dua kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan dalam kalangan murid di negara-negara di dunia, dan telah dibangunkan dengan sistematik dan bersepadu oleh dua organisasi utama dunia dalam bidang pendidikan iaitu The International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA) untuk TIMSS dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) untuk PISA.
IEA merupakan badan bebas yang merupakan hasil gabungan kerjasama pelbagai institusi kajian antarabangsa dan agensi kerajaan. Badan yang berpengkalan di Amsterdam ini mengendalikan kajian perbandingan berskala besar mengenai pencapaian dan pelbagai aspek pendidikan, dengan matlamat untuk memahami impak polisi dan pelaksanaan merentas pelbagai sistem pendidikan.
Sejak ditubuhkan pada 1958, IEA telah menjalankan lebih 40 kajian mengenai pencapaian pendidikan merentas negara dengan memberi fokus antaranya kepada matematik, sains, bacaan, pendidikan sivik dan kenegaraan, literasi ICT serta pendidikan guru.
TIMSS merupakan pentaksiran antarabangsa berasaskan kurikulum sekolah bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di seluruh dunia.
Pentaksiran dibuat bagi mengukur prestasi murid pada Gred 4 (bersamaan dengan Tahun 4) dan Gred 8 (bersamaan dengan Tingkatan 2) yang merangkumi dua aspek iaitu pengetahuan kandungan seperti Algebra dan Geometri, dan kemahiran kognitif seperti proses pemikiran berbentuk pengetahuan, aplikasi, dan penaakulan.
Ujian pertama kali ditadbir pada 1995 dan dikendalikan setiap empat tahun. Malaysia menyertai TIMSS sejak 1999 dan melibatkan murid Tingkatan 2 sahaja.
OECD pula merupakan organisasi ekonomi antara kerajaan dengan 35 negara anggota yang ditubuhkan pada 1960 dengan ibu pejabat di Paris. Tujuan asal penubuhannya adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan dagangan dunia dalam kalangan negara anggota.
OECD juga memberi platform kepada anggotanya untuk membincang dan membandingkan pelaksanaan polisi serta mencari penyelesaian dan berkongsi amalan terbaik.
Menyedari hakikat bahawa pendidikan merupakan asas kepada pembentukan generasi akan datang, OECD menyelaraskan PISA yang juga merupakan pentaksiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dikendalikan setiap tiga tahun, PISA bertujuan menilai kecekapan murid berumur 15 tahun dalam domain Bacaan, Matematik dan Saintifik. Tumpuan pentaksiran bukan kepada kandungan kurikulum tetapi keupayaan murid mengaplikasi pengetahuan dalam kehidupan sebenar. Kali pertama Malaysia menyertai PISA ialah pada 2010 sebagai kitaran pentaksiran untuk 2009.
Keputusan TIMSS dan PISA 2015
TIMSS dan PISA 2015 telahpun diumumkan pada 29 November dan 6 Disember 2016 baru-baru ini, dan saya amat bersyukur dan berbangga kerana bagi kedua-dua pentaksiran ini, skor meningkat secara signifikan.
Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada murid kita diseluruh negara yang telah terpilih secara rawak bagi mengambil bahagian dalam pentaksiran ini dan guru-guru yang telah membimbing mereka.
Tidak lupa juga kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan secara langsung iaitu warga kerja Kementerian, Jabatan dan PPD serta pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta yang semakin rancak membantu transformasi pendidikan.
Bagi pentaksiran TIMSS 2015 yang memberi fokus kepada Sains dan Matematik, Malaysia mencatatkan skor Sains 471 mata dan Matematik 465 mata, berbanding dengan 426 bagi Sains dan 440 bagi Matematik pada 2011.
Lebih membanggakan, daripada 16 negara peserta yang telah mencatatkan peningkatan skor dalam Sains pada TIMSS 2015, Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 44 mata berbanding TIMSS 2011.
Bagi subjek Matematik pula, Malaysia merupakan antara 18 negara yang menunjukkan peningkatan pencapaian iaitu 25 mata berbanding TIMSS 2011.
Sekali lagi untuk murid Tingkatan 2 yang mengambil TIMSS pada tahun 2015, andalah wira negara yang telah meletakkan negara sekarang dalam kelompok dua pertiga teratas negara-negara dengan sistem pendidikan bertaraf dunia.
Peningkatan dalam pentaksiran PISA juga amat membanggakan negara. Skor bagi domain Saintifik meningkat daripada 420 mata pada 2012 kepada 443 mata pada tahun ini. Skor domain Bacaan melonjak daripada 398 mata (2012) kepada 431 mata, manakala domain Matematik menyaksikan peningkatan daripada 421 mata (2012) kepada 446 tahun ini.
Dalam ketiga-tiga domain, jurang pencapaian negara semakin mengecil dengan purata skor OECD. Syabas kepada murid Tingkatan 4 yang telah mengharumkan nama negara dalam pentaksiran ini.
Apakah signifikannya peningkatan skor bagi kedua-dua pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA ini? Adakah skor ini menunjukkan bahawa murid negara ini kini lebih berminat dengan sains atau matematik?
Bagi menjawab soalan ini, kita perlu melihat bagaimana TIMSS dan PISA ini berperanan dalam ekosistem transformasi pendidikan.
Secara umumnya, item pentaksiran dalam TIMSS lebih berorientasikan kandungan dan standard, manakala PISA adalah berorientasikan literasi domain Saintifik, Matematik dan Bacaan. TIMSS mentaksir tahap pencapaian murid di sekolah, manakala PISA memberi indikator sejauh mana murid bersedia untuk dunia luar.
Impak Skor TIMSS dan PISA dalam Transformasi Pendidikan Negara
Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian telah menjadikan Kemahiran Berfikir sebagai salah satu Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada anak-anak warganegara yang melalui sistem pendidikan kita.
Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka melalui penerapan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu.
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bagi memastikan murid kita dapat bersaing di peringkat global.
Peningkatan skor murid kita dalam pentaksiran antarabangsa yang sememangnya menggunakan soalan-soalan aras tinggi menunjukkan bahawa usaha untuk menyediakan anak-anak kita untuk masa hadapan sudah mula menampakkan hasil awal.
Setiap kali saya nyatakan dalam mana-mana sesi dengan pihak berkepentingan, kita seharusnya memandang jauh ke hadapan dan menyediakan prasarana untuk anak-anak kita hari ini.
Kalau 10 tahun akan datang kita akan memandu kereta terbang, murid yang akan merekacipta, menghasilkan kereta itu dan membaikpulih kereta itu kini berada di sekolah kita. Di sekolah sekarang kita perlu menyediakan mereka dengan kemahiran dan nilai yang relevan untuk mereka menjadi warganegara yang dapat menyumbang kepada kejayaan negara.
Sesi Perjumpaan : Mendengar adalah asas komunikasi.
Saya berkesempatan bertemu dengan pemimpin mahasiswa Malaysia yang belajar di luar negara semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Semasa berinteraksi dengan mereka, saya bertanya – apakah kemahiran yang perlu ada pada mereka bagi mereka menjalani proses pembelajaran dan kehidupan di sana?
Semua mereka menjawab – kemahiran berfikir aras tinggi, kemahiran komunikasi atau berbahasa, serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif bagi mereka mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis termasuk di luar konteks akademik.
Dalam sesi dialog bersama mereka, saya jelaskan bahawa sistem pendidikan negara berada pada landasan yang betul kerana kita meletakkan asas yang kukuh melalui penerapan Enam Aspirasi Murid bagi murid kita.
Peningkatan skor dalam pentaksiran antarabangsa menjadi bukti bahawa kita telah mengotakan janji yang dibuat semasa kita menghasilkan PPPM 2013-2025. Kita berjanji bahawa kita akan meningkatkan soalan KBAT dalam PdP dan pentaksiran, kita telah melakukannya dan hasilnya adalah kejayaan peningkatan skor dalam TIMSS dan PISA.
Tidak, murid kita bukanlah bahan eksperimen, tetapi setiap yang dilaksanakan oleh Kementerian telahpun melalui proses perancangan yang melibatkan pakar pendidikan dan sesi pelibatan awam yang meluas sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam PPPM.
Malah pada sebelah malamnya pula, saya mengambil inisiatif bertemu dengan penggiat media sosial yang hadir membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO. Dalam pertemuan tersebut, saya berkesempatan berkongsi mengenai perubahan-perubahan yang sedang berlaku dalam bidang pendidikan di negara kita, isu-isu operasi dan mekanisme supaya penyampaian dan sebaran maklumat menjadi lebih meluas.
Pelibatan penggiat media sosial pasti saya yakin akan dapat membantu sebaran yang lebih menyeluruh. Terima kasih kepada semua yang hadir pada malam tersebut walaupun pemberitahuan dibuat dalam masa yang singkat. Komitmen yang ditunjukkan, membawa maksud bahawa semua pihak cakna terhadap perkembangan pendidikan di negara kita.
Usul dan Perbahasan tentang Pendidikan di Perhimpunan Agung UMNO 2016
Sebenarnya pendidikan ini sangat dekat di hati setiap rakyat Malaysia, daripada pemimpin tertinggi negara, hinggalah kepada masyarakat di pedalaman dan di pulau-pulau perairan negara. Suara hati rakyat telah dibawa ke medan Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari melalui usul-usul pendidikan.
Rata-rata rakyat mahukan Kementerian Pendidikan memastikan kualiti pendidikan negara dimartabatkan di mata dunia. Perwakilan yang membawa usul pendidikan dengan penuh semangat mahukan akses kepada pendidikan berkualiti diperluaskan dengan infrastruktur pendidikan yang lebih baik.
Tidak kurang juga yang menyeru Kementerian supaya memastikan PPPM yang telah direncanakan dengan begitu cantik dilaksanakan dengan berkesan demi memastikan anak-anak kita berjaya di masa akan datang.
Komitmen saya dan KPM
Saya telah nyatakan sebelum ini, dan saya akan terus menyatakan bahawa Kementerian amat serius dalam melaksana perancangan yang telah digariskan di dalam PPPM. Tidak ada lagi soal “Menteri bertukar, pendidikan pun bertukar” semenjak saya diamanahkan untuk menerajui Kementerian Pendidikan.
Malah, saya memastikan bahawa inisiatif yang telah dirancang dilaksanakan dengan rapi di semua peringkat. Kebajikan guru memang sentiasa dekat di hati saya, kerana saya seorang bekas pendidik yang pernah bertugas di luar bandar, jauh dari tempat asal saya. Isu guru yang berjauhan dengan keluarga masing-masing telah dapat dikurangkan.
Saya tidak akan membiarkan guru-guru yang telah banyak menabur jasa mendidik anak-anak bangsa keseorangan sekiranya berhadapan dengan kes saman yang dibawa ke mahkamah oleh ibu bapa, contohnya, walaupun ini adalah kes terpencil. Saya akan memastikan pada tahun 2017 ini proses baikpulih sekolah-sekolah daif dipercepatkan demi keselamatan dan keselesaan anak-anak kita melalui proses pembelajaran.
Pelibatan secara holistik dalam pendidikan demi generasi anak Malaysia.
Sesungguhnya, saya amat bersyukur dengan sokongan daripada warga pendidikan, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam memastikan transformasi pendidikan di bawah PPPM dilaksanakan dengan jayanya.
Kementerian tidak akan dapat menjayakan transformasi ini tanpa bantuan segenap pihak, justeru demi anak-anak bangsa Malaysia, marilah kita bersama-sama memastikan pendidikan kita terus dimartabatkan.
Menteri Pendidikan Malaysia