Mohamad Ezam Mohd Nor Sahkan Diri Keluar PPBM


ALOR SETAR - Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan dirinya keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menamatkan teka-teki yang menjadi tanda tanya sejak beberapa hari yang lalu.

Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengesahkan tindakannya keluar dari PPBM setelah menyertai parti berkenaan kira-kira tiga bulan yang lalu.

"Ya, betul," katanya, memetik laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com semalam.

Mohamad Ezam memberi alasan keluar parti bagi memberi tumpuan kepada NGO yang dipengerusikannya, Hisbah Center for Reform.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa surat keluar parti dari pihaknya telah dikirimkan kepada PPBM pada seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa beberapa pemimpin PPBM yang dihubungi media berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan tokoh Reformasi yang terkenal dengan "kotak" itu. - Kedahnews.com