Mukhriz "Gila Talak", Bukan Taraf Timbalan Presiden


ALOR SETAR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini sering mengungkit tentang hal dalaman UMNO merupakan petanda Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilanda sindrom "gila talak" terhadap parti lamanya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sifat tersebut bukan taraf seorang yang berjawatan Timbalan Presiden bagi sebuah parti politik yang berwibawa.

"Inilah sikap dan strategi politik yang silap, bersikap kebudak budakan dan langsung tidak mencerminkan kepimpinan beliau sebagai sebuah Timbalan Presiden sebuah parti serpihan.

"Sikap beliau yang terus mengambil peduli perihal dalaman UMNO menunjukkan beliau juga sedang dilanda sindrom 'gila talak'," tegas Shaiful Hazizy dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.


Mukhriz sebelum ini mendakwa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kononnya pernah menghantar surat perletakan jawatan, namun dipujuk oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Shaiful Hazizy, sekiranya dakwaan Mukhriz itu benar sekalipun, penyerahan surat letak jawatan oleh Khairy Jamaluddin itu adalah merupakan hak pereogatif Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menerima atau menolak perletakan jawatan berkenaan.

Tegas beliau, tindakan bekas Menteri Besar Kedah itu juga melambangkan sifat dirinya yang pengecut dan tidak berprinsip kerana mengajukan serangan politik yang diluar konteks yang sesuai, selain hanya bersandarkan pada "cakap-cakap kedai kopi".

"Mukhriz bukanlah seorang yang berani dan berprinsip kerana menyatakan perkara itu di luar konteks masa dan tempat yang sepatutnya.

"Mukhriz sekadar berani menyatakan perkara yang bersifat 'cakap-cakap kedai kopi' ini dan kebenarannya diragui dihadapan penyokong PPBM sekadar mengelirukan penyokongnya dan bertujuan membuktikan kononnya dalaman UMNO sedang goyah," katanya.

Ketua Pemuda UMNO Kedah itu juga menganggap "serangan" Mukhriz itu sebagai kenyataan "balas dendam" setelah bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dikritik keras Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2016, baru-baru ini.

"Kenyataan Mukhriz ini adalah sekadar reaksi 'sakit hati' atau dendam peribadi hasil daripada serangan jitu Khairy terhadap Tun Dr Mahathir di dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.

"Dalam hal ini, kita tidak pernah duduk di 'kerusi belakang' di dalam peranan mempertahankan institusi presiden dan Ketua Pemuda UMNO," tegas beliau lagi. -Kedahnews.com