Nahas Bas Ekspres: Kesan Tayar Sejauh 150 Meter Tanpa Kesan Brek


Sebuah bas yang dipandu terlalu laju dipercayai penyebab punca nahas kemalangan maut di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Kampung Jayor, Muar, awal pagi semalam.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati nahas itu tidak melibatkan kenderaan lain.

“Hasil siasatan awal, kami percaya bas ekspres Alisan Golden Coach dari JB Sentral ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur itu terbabas ke kiri jalan dan mempunyai kesan tayar pada tanah sejauh 150 meter tanpa kesan brek," Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, yang dipetik dari BH Online.

Jelas beliau, bas itu kemudian melambung dan terhumban ke dalam gaung sedalam hampir 10 meter berhampiran lokasi kemalangan, serta hanya terhenti setelah merempuh terowong konkrit di kampung berdekatan.

“Ia kemudian melambung dan terjunam ke dalam gaung sedalam hampir 10 meter sebelum terhenti apabila bahagian depan bas merempuh terowong konkrit di Kampung Jayor.

“Akibat hentakan kuat itu, 14 daripada 30 penumpang serta pemandu bas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini,” katanya.

Menurut Azman lagi, kesemua mangsa yang maut adalah mereka yang duduk di bahagian hadapan bas berkenaan. –Kedahnews.com