Nak Main Politik, Tubuh "Kami Guru Malaysia Suka Politik Yang Amat Sangat" - Cikgu Fadli


ALOR SETAR - Guru-guru di dalam group Facebook, Kami Guru Malaysia (KGM) diingatkan supaya tidak lagi cuba bermain isu politik di dalam group tersebut dan lebih fokus kepada isu-isu sekolah dan pendidikan sahaja.

Seorang lelaki yang dipercayai seorang guru, Mohd Fadli Salleh sebaliknya meminta agar guru yang suka sangat berpolitik supaya membuka group Facebook baru yang diberi nama "Kami Guru Malaysia Suka Politik Yang Amat Sangat" jika terus berdegil mahu berpolitik.

"Dan lagi satu nak pesan, kat KGM buku ni tak payah main isu politik la. Kita guna group ini untuk luah pendapat, bincang segala isu pendidikan dan sampaikan apa yang sebenarnya berlaku di peringkat sekolah terus ke orang tertinggi dalam KGM.

"Sindir-sindir pun tak payah. Nak sangat main isu politik, cikgu buat group baru. Namakan group itu sebagai "Kami Guru Malaysia Suka Politik Yang Amat Sangat". Lepas tu papar la muka cikgu kat situ," tegas Mohd Fadli yang dipercayai merupakan salah seorang admin di page KGM.


Kata cikgu itu lagi, adalah amat dikesali sekiranya group KGM itu ditutup atau admin group berkenaan dikenakan tindakan tatatertib hanya gara-gara segelintir guru di dalamnya yang biadap dan tidak menjaga adab ketika melakukan posting.

Mengejutkan, cikgu Mohd Fadli yakin bahawa Menteri Pendidikan mengambil peduli mengenai rintihan-rintihan guru di dalam group berkenaan dan sering memantau posting-posting yang dilakukan didalamnya.

Sebelum ini kecoh diperkatakan tentang segelintir guru di dalam KGM yang memuat naik posting-posting berbaur politik dan memperlekeh pihak kerajaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru-guru lain di dalam group tersebut.

Ekoran cuba mengekang guru-guru lain dari terpengaruh dengan dakyah politik dan persepsi negatif dari fakta yang tidak sahih terhadap, ramai guru yang merungut apabila mereka dikeluarkan dari group tersebut oleh pihak tertentu.


Menurut beberapa sumber guru yang telah dikeluarkan dari KGM, meskipun group itu ditubuhkan atas tujuan membincangkan soal isu pendidikan khususnya masalah-masalah yang berlaku di sekolah, namun sering diselitkan dengan sentimen politik negatif yang tiada kena mengena dengan isu pokok.

Selain sindiran dan hinaan berbentuk persepsi negatif terhadap kerajaan di luar konteks pendidikan, kebiadapan segelintir guru di dalam KGM menjengkelkan guru-guru lain yang terpaksa berdiam diri kerana tidak mahu terlepas berbincang tentang isu pendidikan di situ.

Menurut sumber kami di Putrajaya, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam diam sering mengikuti perbincangan dan perkembangan KGM meskipun beliau bukan sebahagian dari ahli group tertutup itu. - Kedahnews.com