Ops Gegar: Imigresen Kedah Tahan 18 GRO Warga Asing

ALOR SETAR – Lapan belas pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang leka melayan tetamu yang datang berhibur sempena perayaan Krismas ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam Ops Gegar di Taman Bandar Mergong, di sini malam semalam.

Dalam serbuan pukul 11.35 malam yang turut disertai anggota Imigresen Putrajata itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 17 wanita Thailand dan seorang wanita China berusia antara 21 dan 38 tahun.

Seorang lelaki Thailand berusia 51 tahun yang bekerja sebagai deejay di pusat hiburan tersebut turut ditahan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata, pihaknya juga merampas kad perakam waktu, wang komisen yang dibayar kepada wanita warga asing dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM16,065.

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya melanggar syarat pas diberikan dan tiada permit yang sah.

“Dua warga tempatan dipercayai pengurus pusat hiburan serta juruwang turut ditahan sebelum dibebaskan atas jaminan polis,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Kesemua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. – BERNAMA