Pakatan Harapan Tegas Tetap Mahu Anwar Jadi PM


KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya merampas pemerintahan negara ini.

Beliau mendakwa Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan turut dianggotai Parti Amanah Negara (PAN) telah lama membuat ketetapan mengenai perkara berkenaan.

“Pakatan Harapan sudah meletakkan kepercayaan terhadap Anwar untuk memimpin negara. Mengapa tidak? Penjara bukan halangan,” dakwanya dalam akaun Facebook beliau yang disertakan poster menyamakan kedudukan Anwar dengan mendiang Nelson Mandela.

Pakatan Harapan yang menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang berhadapan konflik berhubung isu siapa calon Perdana Menteri jika parti terbesar Melayu UMNO berjaya ditumbangkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Penyokong PPBM mahu Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi calon Perdana Menteri, manakala penyokong Pakatan Harapan mahu Anwar atau Lim Guan Eng daripada DAP menjadi Perdana Menteri.

Berikutan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa Muhyiddin hanya layak menjadi Timbalan Perdana Menteri sementara sehingga Anwar keluar penjara manakala jawatan Perdana Menteri sementara akan dipilih daripada pemimpin Pakatan Harapan.

Beberapa pemimpin PKR kemudian cuba meredakan isu tersebut dengan meminta supaya isu tersebut tidak dibangkitan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan dan PPBM untuk mengelak kerakusan mereka mahu mendapatkan kuasa lebih terdedah.

Selain itu, usaha Wan Azizah cuba menyamakan kedudukan suaminya dengan mendiang Mandela sesuatu yang melampau kerana Mandela dipenjarakan kerana memperjuangkan anti perkauman, manakala Anwar dipenjara kerana meliwat seorang lelaki lain. -Kedahnews.com