PAN Ikrar Tangkis Kebencian Orang Melayu Terhadap DAP


SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (PAN) akan terus memikul tugas dan tanggungjawab untuk menangkis persepsi buruk dan kebencian pengundi Melayu terhadap DAP.

Wakil dari Selangor Jamzuri Ardani berkata isu perkauman akan terus dimainkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, dengan DAP menjadi sasaran utama.

"Sasaran utama mereka tentulah DAP, mereka sedar bahawa isu ini adalah ‘soft spot’ dalam Pakatan Harapan dan isu inilah yang digunakan secara maksima dalam PRU-13 dan digunakan oleh Umno untuk membunuh Pakatan Rakyat.

"Saya fikir PAN perlu berupaya berhadapan dengan pengundi-pengundi Melayu khususnya untuk meyakinkan mereka bahawa DAP ini bukan ancaman kepada negara, bangsa Melayu dan bukan ancaman kepada Islam di negara kita," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada hari kedua Konvensyen PAN di sini, Ahad.

Jamzuri berkata, Umno kini mempunyai ‘sekutu baharu mereka’ untuk terus memainkan isu perkauman dan politik kebencian terhadap DAP.

Justeru beliau menggesa seluruh kepimpinan dan perwakilan berhujah berdasarkan fakta bagi memberi penjelasan kepada pengundi bagi membetulkan persepsi mereka terhadap DAP.

"Kita perlu yakin, kita tak perlu bersikap apologetik dalam menangani isu ini, kita mesti berhujah di atas fakta dan kebenaran bagi menangkis sebarang sentimen kebencian, prejudis dan prasangka buruk yang disebarkan oleh Umno dan sekutu baharu mereka.

"Menghapuskan pemikiran politik kebencian ini adalah teras utama politik PAN, yang ini kita kena faham," katanya.

Sumber: mStar