Papua New Guinea Larang Wanita Bersalin Di Rumah


PORT MORESBY – Papua New Guinea (PNG) mengusulkan langkah drastik untuk mengurangkan angka besar kematian ibu dan bayi di negara tersebut, iaitu larangan melahirkan anak di rumah.

Dalam usaha berkenaan, Perdana Menteri PNG, Peter O’Neill bakal memperkenalkan peraturan baharu iaitu semua proses kelahiran sama ada normal atau pembedahan harus dilakukan di mana-mana klinik atau hospital sahaja.

“Saya sangat bertekad untuk menerapkan hal ini. Tidak ada lagi alasan bagi golongan wanita yang cuba berusaha melahirkan anak mereka di kawasan terpencil,” kata beliau yang dipetik oleh stesen penyiaran ABC Australia.

Dianggarkan kira-kira 1,500 ibu di seluruh PNG direkodkan meninggal dunia setiap tahun ketika melahirkan anak dan kadar kematian bayi juga adalah tinggi, iaitu 45 bayi maut ketika dilahirkan daripada sekitar 1,000 kelahiran.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan dan kumpulan doktor antarabangsa menyatakan bahawa PNG mengalami kadar kematian yang tinggi kerana separuh daripada proses kelahiran sering dilakukan di rumah desa terpencil.


O’Neill menjelaskan bahawa beliau akan mengubah keadaan dengan melaksanakan insentif bayaran khas kepada ibu hamil yang tinggal di pedalaman untuk datang ke fasiliti kesihatan ketika mahu melahirkan anak mereka.

“Pihak pemerintah akan menanggung kos wanita yang mengandung untuk melakukan perjalanan dari desa ke kawasan bandar, sehingga mereka dapat melahirkan bayi dengan selamat dan kemudian kembali ke desa mereka.”

“Dengan ini, kadar kematian bayi diharap turun, paras angka kematian ibu juga dijangka mampu turun,” ujar O’Neill sambil menambah, beberapa doktor dari Cuba akan dikirim ke daerah pedalaman bagi memantau keadaan.

Ia merupakan sebahagian daripada perjanjian bantuan baharu antara dua buah negara berkenaan – yang bakal memberi perkhidmatan kesihatan tambahan yang diperlukan bagi menangani masalah di kawasan terpencil.

Para doktor dan petugas kesihatan wanita turut menyambut baik hasrat pihak pemerintah untuk menurunkan kadar kematian ibu dan anak yang cukup tinggi ketika ini di sebalik kekangan prasarana dan kurang sumber manusia.

Namun ada mengkritik usaha itu disebabkan keadaan geografi PNG yang banyak kawasan berbukit yang sukar dijangkau dan masalah prasarana perhubungan yang kurang baik. – Agensi