PAS Boleh Bincang Dengan PPBM, Tapi Jangan Masuk Bawa Lari Kerusi


KUALA LUMPUR - PAS sedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik di negara ini asalkan parti tersebut ikhlas menghormati kerusi parti Islam itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama PAS dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjelang pilihan raya akan datang yang dilihat kian renggang gara-gara DAP dan PAN.

"Yang itu (soal kerjasama dengan PPBM) nanti kita akan bincang.

"Seperti yang dinyatakan Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebelum ini, PAS memang sedia bincang dengan mana-mana parti, asalkan jangan masuk rumah kami bawa lari kerusi sudahlah," selorohnya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Walau bagaimanapun, PAS awal-awal lagi menetapkan syarat kepada PPBM untuk memutuskan hubungan dengan PAN dan DAP sekiranya berhasrat mahu bekerjasama dengan PAS dan sanggup berketuakan PAS di dalam Gagasan Sejahtera yang dibentuk bersama Parti Ikatan.

PAS baru-baru ini turut menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menjalin sebarang hubungan atau kerjasama politik dengan PPBM, sebaliknya parti yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang datang meluahkan hasrat bekerjasama dengan PAS.

"Buat masa ini kita tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan atau kerjasama politik dengan PPBM.

"Cuma kita pernah bertemu kerana mereka menyatakan hasrat untuk bersama PAS," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Kenyataan Takiyuddin itu dipercayai mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang seolah-olah mengugut PAS konon pihaknya tidak dapat memberi masa lagi pada parti Islam itu dan akan meneruskan agenda menjatuhkan Barisan Nasional (BN) meskipun tanpa PAS. -Kedahnews.com